Perkhidmatan bas sekolah secara percuma di negeri Sarawak kini menjadi realiti.

Ia selepas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melancarkan Majlis Pelancaran Bas Sekolah percuma di bangunan Yayasan Sarawak di Kuching pada Rabu.

Menurut Abang Johari, inisiatif kerajaan negeri ini adalah bagi menggalakkan ibu bapa menggunakan perkhidmatan bas sekolah bagi menghantar anak-anak ke sekolah sekali gus mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan sekolah.

“Kita (kerajaan negeri) nak membantu masyarakat khususnya mereka yang berpendapatan rendah. Pertamanya dengan adanya bas percuma ini, mereka (pengguna) boleh menaiki bas mengikut waktu atau sesi persekolahan dan jadual perjalanan bas.

“Kedua, tidak perlu tidak perlu membayar tambang perjalanan, jadi anak-anak perlu belajar bersungguh-sungguh membantu ibu dan bapa,” ujarnya.

Selain itu jelasnya, dengan adanya inisiatif ini, mereka yang masih bersekolah tidak berdepan masalah untuk pergi ke sekolah.

Setakat ini dua buah bas akan beroperasi melibatkan 30 buah sekolah di sekitar daerah Kuching dan Padawan yang akan memberi manfaat kepada 3000 pelajar sekolah di kawasan tersebut.

Bagi menjayakan inisiatif itu, pihak Yayasan Sarawak juga membangunkan mencipta satu aplikasi, Sarawak Free School Bus.

Ini bagi memudahkan para pelajar mengesan lokasi terkini bas sekolah percuma dengan memuat turun aplikasi tersebut di Google Play Store dan App Store.

Perkhidmatan bas sekolah secara percuma ini sepatutnya memulakan operasinya pada 14 Julai 2020 di sekitar Kuching namun ditangguhkan kepada 3 Ogos 2020.

Ia susulan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Selasa yang memutuskan sesi persekolahan bagi sekolah menengah di tiga daerah iaitu Kuching, Padawan dan Samarahan ditangguhkan sehingga 3 Ogos 2020.

Selain itu, Abang Johari juga berharap projek ini akan diperluaskan ke bandar utama lain seperti Sibu, Bintulu, Miri dan kawasan luar bandar yang lain di negeri itu.