Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Perlis bakal perkenal caj pencemaran galak masyarakat capai 'sifar plastik'

Perlis bakal perkenal caj pencemaran galak masyarakat capai 'sifar plastik'
Masyarakat perlu dididik agar cintakan alam sekitar dan mengurangkan penggunaan plastik dalam amalan hidup mereka. - Gambar hiasan
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis akan memperkenalkan caj pencemaran sebanyak 20 sen bagi setiap penggunaan beg plastik sekali guna di premis perniagaan sebagai usaha mendidik masyarakat agar cintakan alam sekitar dan mengurangkan penggunaan plastik dalam amalan hidup mereka, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

"Hasil kutipan caj 20 sen bagi setiap penggunaan beg plastik akan dikumpulkan dalam akaun amanah oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan ianya akan digunakan untuk masyarakat dan kita juga akan mengkaji undang-undang yang sesuai bagi mengenakan tindakan denda kepada pemilik premis perniagaan yang gagal mematuhinya mengikut undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis pelancaran Program Hari Sabtu Tanpa Beg Plastik di perkarangan Arked Kayangan Square di sini, pada Sabtu.

Bagaimanapun, ketika ditanya bilakan caj itu bakal diperkenalkan, beliau berkata tarikh pelaksanaan belum dimuktamadkan.
Azlan berkata pelaksanaan program Sabtu tanpa beg plastik ini melibatkan kerjasama premis-premis perniagaan antaranya pasar raya besar, pasar raya, pasar raya serbaneka, restoran makanan segera, kedai serbaneka stesen minyak, kedai rangkaian dan farmasi.

Program hari Sabtu tanpa beg plastik merupakan satu permulaan bagi mengurangkan penggunaan dan pencemaran plastik di negeri ini dan seterusnya usaha menjadikan setiap hari tanpa beg plastik tidak mustahil untuk dilaksanakan namun ianya memerlukan kerjasama semua pihak khususnya masyarakat.

Beliau berkata dalam usaha ke arah menjadikan Perlis sebagai negeri bersih menjelang 2030, masyarakat di negeri ini diminta agar tidak menggunakan bekas makanan pakai buang, menukarkan pembalut plastik kepada pembalut yang boleh dikitar semula dan menggunakan dispenser air untuk membolehkan pengisian semula air tanpa perlu membeli air minuman dalam botol plastik.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Azlan berkata beliau berharap kerajaan baharu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat mengembalikan semula keyakinan rakyat dan masyarakat dunia terutamanya pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara.

-- BERNAMA


Tag: perlis, sifar plastik, pencemaran, pengguna, rakyat perlis, caj pencemaran, kerajaan negeri, azlan man, majlis perbandaran kangar



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.