Tutup

Perlis pecat 25 imam, tukar 10 lagi ke kariah lain

Perlis pecat 25 imam, tukar 10 lagi ke kariah lain
25 imam itu dipecat dan 10 yang ditukar ke kariah lain dibuat kerana mereka dianggap tidak sehaluan serta tidak mematuhi amalan dan cara yang diamalkan Perlis. - Gambar Facebook JAIPs
KUALA LUMPUR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) memecat 25 imam kariah sekitar negeri itu bermula 1 Januari 2019, lapor BH Online.

Selain itu, 10 lagi imam pula ditukar ke kariah lain tanpa alasan melalui surat yang bertarikh 31 Disember 2018.

Laporan itu memetik sumber yang memberitahu, tindakan itu dibuat kerana mereka dianggap tidak sehaluan serta tidak mematuhi amalan dan cara yang diamalkan Perlis.

Pemecatan dan pertukaran itu juga bersangkut paut dengan tindakan imam melakukan sesuatu perkara yang dianggap baik untuk kariah, tetapi tidak kepada pihak berkuasa agama.
“Lebih pelik ada imam dipecat dan ditukar kariah kerana melakukan aktiviti mengimarahkan masjid seperti nasyid, gotong-royong serta program ceramah sehingga ada antara aktiviti anjuran masjid ini menarik perhatian dan disiarkan dalam televisyen berbayar.

“Kebanyakan imam terbabit adalah yang disukai dan dipersetujui ahli kariah atas faktor kepemimpinan, keilmuan dan kesungguhan mereka memartabatkan syiar Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi amalan di negara ini.
“Mereka yang dipecat juga turut diberi amaran tidak membuat sebarang tindakan yang kononnya akan memalukan pihak berkuasa agama Perlis dan jika ia berlaku, mereka tidak akan memperoleh bayaran saguhati,” kata sumber tersebut kepada BH Online.

Antara imam yang dipecat adalah imam dari Masjid Batu 2, Masjid Kampung Guar Syed Alwi, Masjid Jalan Santan, Masjid Telok Jambu dan Masjid Padang Katong.

Semua imam terbabit sebelum ini dikatakan tidak mempunyai masalah dan disenangi dalam kalangan anak kariah masing-masing.




Tag: Malaysia, Perlis, imam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, JAIPs, pecat



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.