Bantahan terhadap pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar yang mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk menjawat jawatan itu adalah di luar undang-undang tubuh kerajaan Perlis dan konsep raja berperlembagaan.

Ini kerana, Raja Perlis berkuasa melantik menteri besar sama ada mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri atau sebaliknya berdasarkan Perkara 39 (4) undang-undang tubuh kerajaan Perlis.

Pengamal undang-undang, Ramli Shariff menjelaskan peruntukan undang-undang itu juga menyebabkan Perlis unik berbanding negeri-negeri lain.

Perlis merupakan satu-satunya negeri yang membolehkan seseorang menteri besar dilantik tanpa memerlukan sokongan majoriti wakil-wakil rakyat.

Beliau turut menjelaskan terdapat peruntukan di bawah undang-undang tubuh kerajaan Perlis yang membolehkan menteri besar menjalankan tugas-tugas tanpa pelantikan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

"Saya melihat di mana jalan keluar apabila kelapan-lapan orang ADUN ini tidak mahu bersama dengan menteri besar. Ada atau tidak jalan keluarnya? Saya rasa ada.

"Apakah tidak perlu kita timbang dengan ex officio, adakah negeri boleh bergerak dengan ex officio sahaja? Adakah ia satu keperluan pada lantikan wakil politik? Adakah kerajaan boleh berkongsi secara ex office iaitu pegawai dan komposisi kerajaan negeri itu sendiri dengan ex officio?

"Saya nampak macam ada jalan keluar, tapi ini perkara baharu yang belum lagi kita lalui," kata Ramli.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kemelut pelantikan MB Perlis selepas Pengerusi Barisan Nasional BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim umum pemecatan Azlan tujuh jam selepas mengangkat sumpah sebagai menteri besar kerana tidak mendapat sokongan majoriti berikutan sembilan ADUN BN Perlis menolak pelantikan itu.