Kesempatan daripada tempoh moratorium dikuat kuasa terhadap perlombongan bauksit di daerah ini perlu digunakan dengan sebaik-baiknya untuk mengkaji dan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang benar-benar ketat bagi aktiviti itu pada masa depan.

Kerajaan hendaklah juga menentukan aktiviti itu dilakukan di kawasan jauh dari kawasan kediaman penduduk, demikian saranan pakar geologi dari Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Habibah Jamil.

Beliau berkata, kegiatan perlombongan bauksit di kawasan mempunyai penduduk seperti yang berlaku di sini sekarang boleh menjejas kesihatan mereka akibat penyerapan bahan-bahan kimia dari bauksit ke dalam tubuh sama ada secara terus mahupun melalui rantaian makanan.

Dr Habibah berkata bauksit mengandungi bahan kimia seperti aluminium hidroksida, besi oksida dan kromium yang sangat tinggi di samping tanah liat.

"Bahan-bahan tersebut terkandung dalam debu halus dan boleh menyerap melalui pernafasan.

"Apabila bahan-bahan tersebut memasuki sungai atau laut, ia boleh dimakan oleh ikan dan hidupan kecil di dasar sungai.

"Ia kemudian boleh masuk ke dalam tubuh manusia apabila mereka memakan hasil sungai atau laut yang tercemar itu," katanya kepada Bernama.

Menurutnya bauksit di Kuantan mengandungi 32 hingga 52 peratus kandungan aluminium hidroksida, manakala kandungan besi oksida pula adalah antara 14 hingga 32 peratus yang menyebabkan muncul suasana atau 'pemandangan seperti planet marikh' di Kuantan akibat aktiviti perlombongan galian itu baru-baru ini.

Beliau berkata, debu-debu merah yang mengandungi bahan-bahan kimia tersebut boleh mendatangkan pelbagai risiko kesihatan dalam jangka masa panjang.

Jika seseorang terdedah kepada aluminium hidroksida pada tempoh lama boleh mendatangkan risiko penyakit Alzheimer.

Manakala besi oksida mampu menyerap ke dalam tubuh melalui pernafasan lalu memasuki tisu hati hingga boleh menjejas fungsi organ tersebut, katanya.

Beliau berkata bauksit di Kuantan mengandungi kromium yang tinggi berbanding tanah biasa iaitu antara 409 hingga 1227 bahagian per sejuta (ppm).

Bagaimanapun, beliau berkata tidak dapat dipastikan sama ada ia terdiri daripada kromium (III) yang tidak mendatangkan bahaya atau kromium (VI) yang boleh mendatangkan risiko barah kepada manusia jika terdedah dalam tempoh lama.

Dr Habibah menjelaskan, tumbuh-tumbuhan pula menunjukkan kesan berbeza terhadap bahan kimia, terutamanya logam berat.

"Jika dedahan sangat tinggi, daun menjadi kuning, pokok tidak berbuah atau cepat mati.

"Sesetengah tumbuh-tumbuhan pula menyimpan logam berat di dalam batang, daun atau buah.

"Buah-buahan yang telah tercemar ini akhirnya akan dimakan oleh manusia dan haiwan. Ini mewujudkan satu rantaian makanan tidak sihat yang kemudian akan meninggalkan kesan kepada kesihatan," katanya.

Beliau berkata keadaan sama berlaku apabila bahan logam mencemari air sungai dan air laut yang menjadi habitat untuk ikan dan makanan laut.

"Selut merah yang memasuki saliran akan menyebabkan air sungai atau air laut menjadi keruh sekaligus menyebabkan ikan mati kerana kekurangan oksigen.

"Ikan yang tahan dengan pencemaran pula akan menyimpan bahan logam ini di bahagian-bahan tubuh termasuk insang, kepala dan daging.

"Dalam masa yang sama bahan kimia ini juga akan dimakan oleh bentos atau dalam istilah umum, haiwan yang merayap di dasar sungai atau laut yang menjadi makanan ikan.

"Apabila kita tangkap dan makan ikan ini, bahan logam itu kemudian akan masuk ke dalam sistem tubuh kita," katanya.

Paling membimbangkan ialah apabila semakin panjang rantaian makanan yang terlibat, ia akan menjadikan bahan logam berat itu semakin pekat dan berbahaya kepada manusia.

"Kesan kepada kesihatan manusia hanya dapat dilihat pada jangka masa panjang iaitu selepas beberapa tahun.

"Memandangkan itu, perlombongan bauksit hanya sesuai dilakukan di kawasan yang jauh dari penempatan penduduk, atau dilakukan di kawasan yang belum diteroka.

"Di Kuantan, kita dapati perlombongan itu dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa untuk merebut peluang pasaran yang ditinggalkan oleh Indonesia tanpa kajian mendalam menyebabkan berlaku pencemaran.

Dr Habibah berharap tempoh bertenang (moratorium) ini membolehkan pihak berkuasa menyusun pelan tindakan rapi bagi menentukan penduduk Kuantan tidak berdepan dengan masalah kesihatan ekoran aktiviti perlombongan bauksit.