Negara hanya boleh diisytihar bebas daripada penularan COVID-19 sekiranya merekodkan sifar kes baharu untuk tempoh 28 hari iaitu dua kitaran inkubasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, ia adalah penanda aras yang diguna pakai bagi memantau dan mengawasi situasi sebelum mengisytiharkan negara benar-benar bebas daripada jangkitan itu.

"Sebagai contoh, kalau kita mahu tamatkan satu kluster, ia memakan masa 28 hari pemantauan dan pengawasan iaitu dua kitaran inkubasi.

"Maksudnya jika kita catat sifar kes baharu untuk tempoh 28 hari, baru kita boleh isytiharkan bebas daripada COVID-19. Itu yang kita pakai sebagai tanda aras," katanya pada sidang media di Putrajaya, pada Khamis.

BACA: COVID-19: 31 kes baharu, 51 kes sembuh sepenuhnya

BACA: Berita palsu 'lebih cepat' tersebar berbanding virus COVID-19 - Dr Noor Hisham



Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menjelaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) hanya akan mengeluarkan surat yang mengisytiharkan individu yang sedang menjalani kuarantin di rumah bebas daripada jangkitan itu hanya selepas menjalani ujian saringan kedua dan disahkan negatif COVID-19

"Kita akan menjalankan saringan ulangan pada hari ke-13 mereka dikuarantin. Konsepnya sama sahaja, sama ada dikuarantin di rumah atau pusat kuarantin sebelum ini," ujarnya.