Akta atau undang-undang berkaitan perlu diwujudkan terhadap pengasuh di rumah, ujar Pakar Psikologi dari Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Datin Dr. Mariani Md Nor.

Ketika ini katanya, hanya taska dan taman asuhan yang dikuatkuasakan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 melibatkan garis panduan dan peraturan yang ditetapkan.

"Kita memang dari dahulu lagi telah menginstitusikan tempat kanak-kanak ini dijaga dan dididik. Kalau ikutkan bagi taska, memang ada akta iaitu Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 memang ada garis panduan dan undang-undang serta ada nisbah antara pengasuh dan anak.

"Bagaimanapun sekarang ini yang tiada adalah akta untuk pengasuh yang menjaga anak di rumah," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Pada masa sama, katanya, pemantauan perlu ditingkatkan ke atas pengasuh anak di rumah.

"Kita tahu kalau pengasuh itu menjaga anak antara empat hingga sembilan orang, mereka perlu mendaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Namun ini tidak berlaku, kerana sebab itu mereka merasakan tiada siapa-siapa yang memantau," ujarnya.

Walaupun diakui ada pengasuh di rumah yang mengambil Kursus Asuhan Permata (KAP) sahaja, namun ia tidak memadai tanpa pematuhan garis panduan sedia ada.

"Jadi, sampai masa ada undang-undang diperketatkan terutama bagi pengasuh di rumah yang mungkin bukan sahaja empat hingga sembilan orang tetapi juga mungkin kurang dari empat orang.

"Ini kerana walaupun ada pengasuh berkenaan mempunyai sijil kursus pengasuh KAP tetapi premis yang diduduki pengasuh itu tidak beserta dengan garis panduan dan akur. Perkara ini perlu dilihat sebab kemalangan berlaku 90 peratus di rumah pengasuh bukan di taska," katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyarankan ibu bapa agar menyelidik latar belakang pengasuh sebelum menghantar anak-anak mereka ke rumah asuhan berkenaan.

Pada masa sama, kerajaan perlu turut sama mencari kaedah berkesan untuk meringankan beban ibu bapa dengan memastikan yuran dikenakan taska atau tempat asuhan adalah berpatutan.

Ia berikutan faktor yuran yang lebih rendah menyebabkan pengasuh di rumah menjadi pilihan ibu bapa yang bekerja.