Tutup

Perlu bincang beberapa perkara sebelum muktamad isu kereta terbang - Mohd Redzuan

Perlu bincang beberapa perkara sebelum muktamad isu kereta terbang - Mohd Redzuan
Pada Isnin, Mohd Redzuan berkata akan melakukan sendiri pandu uji kenderaan yang boleh memuatkan dua orang itu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membincangkan perkara secara menyeluruh termasuk isu ruang udara sebelum memutuskan pengeluaran kereta terbang.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata, ia termasuk keputusan mengeluarkan kenderaan itu atau sebaliknya dalam perkembangan projek itu sendiri.

"Saya masih belum tahu perincian mengenainya. Saya hanya mahu meneliti manfaat kereta terbang ini terlebih dahulu.

"Ketika ini kita masih mempunyai pertikaian mengenai ruang udara dengan perbincangan mengenainya sedang dijalankan di peringkat kerajaan tentang bagaimana ia boleh diselesaikan," katanya.
Mohd Redzuan berkata demikian semasa ditemui di lobi Parlimen di sini, pada Selasa.


Pada Isnin, Mohd Redzuan berkata akan melakukan sendiri pandu uji kenderaan yang boleh memuatkan dua orang itu.

Menyatakan ia akan dijalankan di Subang, beliau turut mengundang ahli Parlimen pembangkang menyaksikan sendiri sesi pandu uji kereta terbang berkenaan, bagi menampilkan kenderaan yang menggunakan ruang udara sebagai platform.

“Saya jemput Yang Berhormat Paya Besar (Mohd Shahar Abdullah-BN) jika mahu. Kita boleh duduk bersama kalau nak ambil gambar ketika kereta itu terbang,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi pihak kementerian di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Bagaimanapun, terkini beliau menjelaskan, perincian sesi pandu uji itu tidak boleh didedahkan kerana menghormati permintaan pemaju selain bimbang kereta itu gagal diterbangkan.

Terdahulu, Ketua Biro Polisi dan Strategi Bersatu, Dr Rais Hussin berkata, projek kereta terbang adalah 'idea sampah' selain mahu perhatian diberikan kepada isu yang sepatutnya.



Tag: Dewan Rakyat, Parlimen, kerajaan, pembangkang, undang-undang, menteri, usahawan, kereta terbang, Mohd Redzuan Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.