Terdapat keperluan untuk mendapatkan kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum membina rumah ibadat.

Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata ketika ini, cadangan dikemukakan kerajaan itu belum berkuatkuasa buat masa sekarang.

"Belum lagi berkuatkuasa, saya rasa memang ada keperluan tetapi ada dua bahagian, satu di bawah pelan Malaysia yang mana harus mengagihkan tanah untuk rumah-rumah ibadat.

"KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) juga akan mengeluarkan syarat-syarat. Mana-mana rumah ibadat yang nak dibuat sebenarnya ada syarat-syarat, tetapi ada banyak yang illegal yang buat atas persendirian, memang banyak," katanya semasa ditemui media di lobi Parlimen.

Tegasnya, sudah tiba masanya beliau melihat kembali dan menyeragamkan dasar kebangsaan.

"Di Selangor dulu memang ada rumah-rumah ibadat dibuat di rumah yang tidak dapat kelulusan, jadi PBT ada buat tindakan pada waktu itu. Saya kira sudah tiba masanya saya melihat kembali dan buat dasar kebangsaan, dan seragamkan," kata beliau.

Zuraida bagaimanapun tidak dapat mendedahkan bila cadangan itu akan dikuatkuasakan.

Namun, katanya, ia perlu dilaksanakan secepat mungkin.

"Saya kena semak balik kalau tidak memerlukan banyak pindaan dan proses akta dan sebagainya. Boleh kita buat secepat mungkin tetapi kalau akta ini kena masuk Parlimen untuk kelulusan, saya kena tengok, adakah ia boleh di bawah undang-undang kecil, saya kena kaji dulu.

"Kuil Sri Maha Mariamman tidak akan terlibat terkecuali sebab ada tindakan mahkamah. Isu itu dah selesai sebenarnya cuma pelaksanaannya belum dapat dibuat," tambah beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan meluluskan usul dan menjadikan syarat bahawa rumah ibadat seperti masjid, kuil atau gereja tidak boleh dibina tanpa kebenaran PBT.