Setiap calon anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pengambilan akan datang, perlu melepasi ujian agama serta moral.

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Abd Rahim Jaafar berkata, ia bagi memastikan semua anggota dan pegawai polis yang akan dilahirkan kelak, memiliki nilai-nilai murni serta berintegriti tinggi.

"Tahun hadapan kita unjurkan pengambilan seramai 6,000 anggota dan kira-kira 500 pegawai untuk mengisi perkhidmatan.

"Selain ujian psikometrik dan sikap, setiap calon perlu menjalani dan melepasi ujian agama, bagi yang Muslim serta ujian moral bagi bukan Muslim secara dalam talian, dan juga ketika sesi temuduga sebelum diterima untuk latihan.

"Polis ini tugas dia menjaga keselamatan orang ramai. Tetapi macam mana nak jaga jika dia (anggota dan pegawai polis) pun bermasalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di sini, hari ini.

Di samping itu, Abd Rahim berkata, penekanan nilai agama dan moral itu dibuat bagi menangani kes salah laku dalam kalangan warga PDRM, walaupun jumlah kes seumpama ini sangat kecil, iaitu tidak sampai satu peratus.

Seramai 300 anggota, pegawai serta pesara polis menerima anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan majlis tersebut turut dihadiri Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail.

Selain penekanan terhadap asas agama dan moral, Abd Rahim berkata, PDRM juga sedang mendapatkan bantuan daripada pihak universiti untuk mengkaji teknologi, yang dapat mengesan calon-calon yang bermasalah dengan dadah lebih awal.

"Ini kerana kita dapati ada anggota polis yang ditangkap berkaitan kes dadah, sebenarnya sudah terlibat lebih awal iaitu sebelum memasuki perkhidmatan polis.

"Perkara-perkara seperti ini yang kita cuba elakkan kerana ia memberi imej serta reputasi buruk kepada PDRM walaupun jumlah sangat kecil," katanya. - BERNAMA