Tutup

Perlu perbincangan mendalam sebelum rombak Kabinet - Guan Eng

Perlu perbincangan mendalam sebelum rombak Kabinet - Guan Eng
Lim Guan Eng menegaskan beliau yakin perbincangan lebih mendalam dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) akan diadakan sebelum merombak Kabinet. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan beliau yakin perbincangan lebih mendalam dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) akan diadakan sebelum sebarang tindakan merombak barisan Kabinet diambil.



Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, sebelum ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hanya bercakap secara umum mengenai cadangan tersebut tetapi perbincangan lebih terperinci diperlukan sebelum mengambil tindakan berkenaan.


“Saya rasa perundingan akan diadakan dengan lebih mendalam lagi. Itu saya rasa beliau (Perdana Menteri) hanya sebut secara am tetapi tunggu perbincangan yang lebih terperinci dan lebih mendalam.

Guan Eng berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan Perdana Menteri yang membayangkan akan merombak barisan Kabinet dalam masa terdekat selepas PH kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.



Turut mencadangkan Kabinet dirombak ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu Guan Eng ditukar kerana didakwa gagal membentangkan Belanjawan yang memuaskan.


Ia susulan Pulau Pinang yang didakwa hanya mendapat RM10 juta untuk hab halal berbanding keseluruhan peruntukan RM10 bilion.



Guan Eng yang menafikan tuduhan tersebut mendakwa peruntukan untuk hab halal di Pulau Pinang ialah RM125 juta dan bukan RM10 juta seperti didakwa.



“Bukan RM10 juta, (tetapi) RM125 juta, mengapa boleh putar belitkan dan boleh buat kenyataan palsu.

"Hakikatnya ialah RM125 juta bukan RM10 juta, sekiranya dia (Tuan Ibrahim) seorang yang beretika dan bermoral beliau harus tahu apa yang perlu buat,” katanya selepas menyerahkan bantuan kepada warga emas, ibu tunggal dan ibu emas di Taman Pandan, Butterworth.



Warga emas mendapat RM130 seorang manakala ibu tunggal dan ibu emas RM100 seorang.






Tag: Lim Guan Eng, Mahathir Mohamad, Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS, DAP, Pakatan Harapan, Perdana Menteri, pilihan raya, pilihan raya kecil, PRK Tanjung Piai, Tanjung Piai Memilih, rombakan kabinet



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.