Kementerian Kesihatan memerlukan sedikit masa lagi untuk memuktamadkan keputusan mengenai pengurangan fi perundingan, sebagaimana yang dipohon 7,000 doktor perubatan umum, kata menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, cadangan penyemakan itu telah pun diangkat ke Kabinet pada 24 April tahun ini untuk persetujuan, namun beliau menjelaskan, kabinet memutuskan ia dibincangkan di peringkat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara dahulu.

Dr Zulkefly berkata, susulan arahan Kabinet, Jawatankuasa Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) telah bermesyuarat pada 1 Ogos tahun ini, dan mencapai tiga perkara iaitu: -

i. Julat caj perundingan bagi pengamal perubatan am swasta yang dicadangkan iaitu RM30-RM125 dikurangkan kepada julat yang lebih rendah dan dinaikkan secara berfasa;

ii. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu melaksanakan satu kajian berkaitan impak akibat kenaikan caj perundingan bagi pengamal perubatan am swasta ini ke atas Consumer Price Index (CPI); dan

iii.Kertas cadangan semakan ini akan dibawa ke Majlis Tindakan Sara Hidup Peringkat Tertinggi yang akan dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Berikan sedikit waktu lagi, NACCOL akan bersidang pada November ini, dan saya percaya ia akan dirumuskan dengan baik,” katanya lagi sewaktu sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Haji Noor Azmi Ghazali (PH - Bagan Serai) yang mahu tahu status permohonan 7,000 doktor perubatan umum untuk mengharmonikan fi perundingan di jadual ke-13.

Noor Azmi berkata, permohonan itu tidak dihiraukan hampir 27 tahun, sedangkan kos operasi klinik, kos ubat-ubatan serta kos peralatan klinik telah meningkat dengan ketara.