INSIDEN lif meluncur ke bawah di pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur pada Jumaat yang tersebut telah mengakibatkan beberapa penduduk mengalami kecederaan adalah amat dikesali.

Lebih mendukacitakan apabila difahamkan kejadian tersebut merupakan yang kedua di PPR berkenaan.

Bahkan, banyak rungutan berkaitan masalah dan kerosakan lif berkenaan daripada penduduk sekitar sebelum berlakunya insiden tersebut.

Ekoran itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan memutuskan agar pihak kontraktor penyelenggara lif di bawah seliaannya membawa bersama wakil Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) ketika pemeriksaan pada setiap bulan.


Cadangan ini kedengarannya menarik, namun agak keterlaluan kerana secara tidak langsung bakal menambah beban tugas JKKP khususnya Pegawai Pemeriksa Kilang dan Jentera yang terlibat dengan pemeriksaan mesin angkat.

Menurut Akta Kilang dan Jentera 1967, adalah menjadi kewajipan kepada pemunya sesuatu lif penumpang untuk memastikan bahawa lif tersebut berada dalam keadaan yang selamat dan pada bila-bila masa ianya dapat digunakan sesuai dengan tujuan pembinaannya.

Bagi tujuan tersebut, lif hendaklah direkabentuk, dipasang dan diselenggara oleh firma yang kompeten dan berdaftar dengan JKKP sebagai syarikat pemasang, penyelenggaraan dan pemeriksa lif.

Semua kerja-kerja tersebut mesti dilaksanakan oleh orang yang cukup layak, terlatih dan berdaftar dengan JKKP yang dikenali sebagai Orang Yang Kompeten (OYK) Lif.

Pemunya lif penumpang hendaklah membuat perjanjian penyelenggaraan dengan firma yang kompeten selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan memastikan kerja-kerja penyelenggaraan lif dilakukan setiap bulan dan diperiksa sepenuhnya sekurang-kurangnya sekali setiap tiga bulan.


Pihak JKKP hanya akan melakukan pemeriksaan setiap 15 bulan bagi tujuan pembaharuan Perakuan Kelayakan Mesin Angkat (PMA) lif penumpang setelah permohonan pembaharuan dibuat oleh pemunya.

Berdasarkan undang-undang dan prosedur sedia ada, ianya jelas menunjukkan bahawa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pemunya lif penumpang bertanggungjawab sepenuhnya dalam memastikan keselamatan lif berkenaan.

Malahan, pihak DBKL telah melantik firma berkaitan bagi kerja-kerja penyelenggaraan lif berkenaan.

Maka sewajarnya pihak JKKP tidak perlu terlibat sama setiap kali penyelenggaraan lif dilaksanakan oleh firma dan orang yang kompeten.


Namun begitu, mungkin cadangan berikut boleh dipertimbangkan oleh pihak DBKL bagi memastikan insiden yang sama tidak berulang :

1. Jabatan Kejuruteraan atau juruteknik DBKL hendaklah terlibat sama setiap kali penyelenggaraan lif dilaksanakan oleh firma dan orang yang kompeten bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dilakukan dengan betul.

2. Memastikan adanya wakil dari Jawatankuasa Penduduk PPR berkaitan untuk turut sama menjadi pemerhati sewaktu kerja-kerja penyelenggaraan lif dilaksanakan.

3. Pihak DBKL boleh menghantar juruteknik mereka untuk mengikuti latihan teknikal yang berkaitan dengan kerja-kerja penyelenggaraan lif penumpang.

4. Bekerjasama dengan pihak JKKP untuk membolehkan juruteknik DBKL yang terlatih bagi kerja-kerja penyelenggaraan lif penumpang didaftarkan sebagai OYK Lif.

5. Melakukan audit keselamatan lif penumpang bersama-sama Jawatankuasa Penduduk PPR berkaitan dengan lebih kerap.

6. Mewajibkan pihak pembekal lif penumpang memberi taklimat keselamatan lif kepada penduduk PPR berkaitan.

7. Mewajibkan Jawatankuasa Penduduk PPR berkaitan menubuhkan satu pasukan tindakan kecemasan (Emergency Response Team) dan diberikan latihan yang bersesuaian bagi menghadapi situasi cemas seperti insiden lif meluncur atau terhempas.

8. Menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi mencegah perbuatan vandalisme penduduk ke atas kemudahan awam yang disediakan khususnya lif penumpang.

Semoga cadangan-cadangan yang diutarakan mendapat perhatian sewajarnya oleh pihak berkaitan dan usaha penambahbaikan dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi memastikan insiden yang sama tidak berulang lagi.



* Ts. Mohd Soffian Osman merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn. Bhd.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semstinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI