Permintaan terhadap kesambungan Internet di seluruh Malaysia semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus mencatatkan rekod baharu dengan penggunaan lebih besar oleh isi rumah bagi kandungan audio-visual selain inisiatif e-Pembelajaran dan panggilan persidangan video.

Pengerusi Malaysia Internet Exchange (MyIX), Chiew Kok Hin berkata ia telah mencatatkan paras tertinggi baharu bagi puncak trafik Internet iaitu 588 gigabit sesaat (Gbps), mengatasi 532Gbps yang direkodkan pada dua minggu pertama PKP dan mata puncak trafik tertinggi 2019, 500Gbps.

"Infrastruktur MyIX diklasifikasikan sebagai infrastruktur penting negara dan, dengan itu, keselamatan juga telah diperketatkan menepati garis panduan Majlis Keselamatan Negara.

"Kebanyakan Penyedia Perkhidmatan Internet (ISP) dan Rangkaian Penyampaian Kandungan (CDN) secara langsung diselaraskan bersama MyIX dengan kapasiti yang mencukupi," katanya.

Chiew berkata beberapa pengendali telekomunikasi telah menaik taraf infrastruktur mereka secara progresif untuk isi rumah susulan peningkatan permintaan bagi kesambungan Internet yang lebih pantas kepada isi rumah dengan menambahkan port di MyIX untuk mengurangkan kesesakan trafik.

Beliau juga berkata MyIX telah mengecualikan caj bagi port-port baharu ini selama tiga bulan, di samping mengetepikan caj untuk port sedia ada sepanjang April, untuk membantu ahlinya menghadapi tempoh mencabar ini.

Bagi penggunaan port, MyIX juga telah menyemak turun caj port sedia ada untuk semua ahli MyIX bulan ini, dengan caj terdiskaun di antara 20 peratus dengan 23 peratus bergantung kepada kapasiti port, katanya.

Beliau berkata MyIX dan pengendali telekomunikasi akan terus melakukan yang terbaik untuk memastikan kesambungan tanpa gangguan bagi baki tempoh PKP ini.

-- BERNAMA