Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini menolak permohonan ikat jamin terhadap tiga individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung penglibatan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Tiga individu itu masing-masing ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaran, 60, ADUN Gadek, G. Saminathan, 34, dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), S. Vhandru, 38.

Hakim Elesabet Paya Wan menegaskan permohonan itu ditolak berikutan kes berkenaan melibatkan keselamatan negara selain mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang merit mengapa jaminan wajar diberikan.

Prosiding berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muzila Mohamed Arsad bersama Hayatul Wirdah Mohd Yunos, manakala semua tertuduh diwakili peguam Ramkarpal Singh.

Semalam, Elesabet membenarkan pihak pembelaan mengemukakan afidavit sokongan terhadap ketiga-tiga tertuduh sebelum memerintahkan empat pertuduhan dihadapi mereka dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ramkarpal dalam hujahan sokongan jaminannya semalam berkata, badan kehakiman mempunyai kuasa untuk membenarkan atau menolak permohonan ikat jamin.

Hujahnya lagi, mengambil kira rekod cemerlang ketiga-tiga tertuduh sebagai ADUN dan juga ketua sebuah perbadanan, tidak menjadi halangan untuk mahkamah membenarkan jaminan selain kesemua tertuduh boleh diperintahkan untuk menggunapakai peranti pemantauan elektronik (EMD) dan melapor diri ke balai polis setiap hari.

Pada 1 November lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozina Ayob telah memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA bagi merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah itu telah membenarkan permohonan kesemua 12 individu yang di tahan SOSMA untuk merujuk isu perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.

Selain tiga individu ini, mereka yang lain ialah pemandu teksi V. Balamurugan, 37; penghantar surat S. Teeran, 38; peniaga besi buruk A. Kalaimughilan, 28; juruteknik S. Arivainthan, 27; penjaga stor S. Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan M. Pumugan, 29; seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52; ahli DAP, V. Suresh Kumar, 43; dan peniaga, B. Subramaniam, 57.

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri pada 29 dan 31 Okt lepas atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

2 November lalu, Mahkamah Sesyen Seremban kemudian turut membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE keatas Gunasekaran.