Seorang saksi berkata tindakan menghantar surat permohonan agar syarikat SRC International Sdn Bhd diletak di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) terus kepada perdana menteri untuk diluluskan, tanpa melalui peringkat bawahan terlebih dahulu, bukan amalan biasa dalam prosedur berhubung perkara itu.

Bekas Timbalan Ketua Perbendaharaan Dasar Kementerian Kewangan Datuk Mat Noor Nawi berkata bekas Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan SRC Nik Faisal Ariff Kamil telah menghantar surat bertarikh 9 Jan 2012 berhubung perkara tersebut terus kepada Datuk Seri Najib Razak, yang merupakan perdana menteri ketika itu.

"Kes ini sebenarnya berbeza sedikit. Dalam banyak kes, syarikat akan hantar permohonan mereka kepada Kementerian Kewangan. Kementerian Kewangan akan sediakan kertas untuk keputusan atau sokongan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan diangkat kepada Menteri Kewangan Kedua, dan jika perlu, diangkat lagi kepada Menteri Kewangan. Ini saya kategorikan sebagai pendekatan pertama.

"Dalam kes ini (permohonan SRC), saya kategorikan sebagai (pendekatan kedua) proses membuat keputusan dari atas ke bawah," kata saksi pendakwaan ke-44 itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari ke-34 perbicaraan kes penyelewengan dana SRC membabitkan Najib di Mahkamah Tinggi di sini.

Saksi itu menjelaskan, dalam kedua-dua pendekatan, ia bergantung kepada apa yang diminitkan perdana menteri.

"Bergantung pada minit Perdana Menteri, beliau (perdana menteri) akan minit sila pertimbang sebaik mungkin, atau sila kaji. Jika ini minit beliau, maka saya akan gunakan pendekatan pertama, bermula dari bawah iaitu sediakan kertas, dapatkan sokongan dan persetujuan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Perdana Menteri dan barulah kami maklumkan pada syarikat.

"Kedua, bila Perdana Menteri minitkan "saya setuju dengan cadangan ini," kalau itu minit Perdana Menteri, maka kami hanya melaksanakan keputusan itu tanpa perlu ikut cara yang tadi, yang mula dari bawah naik ke atas sebab Perdana Menteri telah beri persetujuan," katanya.

Menjawab soalan Suhaimi, permohonan SRC dikategorikan dalam pendekatan mana, saksi itu menjawab," pendekatan kedua kerana Najib telah menulis "saya setuju dengan cadangan ini, sila uruskan."

Selain itu, Mat Noor berkata dalam perenggan kedua surat permohonan tersebut, Nik Faisal dengan jelas menyatakan "Saya menulis untuk mendapatkan pengesahan dan pelaksanaan Perdana Menteri, nasihat oleh Perdana Menteri."

"Ini dua perkara yang menggambarkan bahawa persetujuan telah dicapai. Sebelum SRC tulis surat ini, Nik Faisal berkemungkinan telah berbincang dengan Perdana Menteri ketika itu (Najib) dan dapat persetujuan mungkin secara lisan daripada Perdana Menteri," katanya.

Menjawab soalan bagaimana beliau boleh terlibat dalam menguruskan permohonan SRC sedangkan surat ditujukan terus kepada Najib, Mat Noor berkata Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah memintanya menguruskan perkara tersebut.

Mat Noor berkata Nor Mohamed telah menelefon beliau dan memaklumkan mengenai permohonan bagi memindahkan SRC daripada Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk dijadikan syarikat di bawah MKD.

"Surat ini dituju kepada Datuk Seri Najib, yang juga Menteri Kewangan ketika itu. Dalam minit (nota arahan) ini, Perdana Menteri ada minit kepada Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, menteri bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi (EPU). Perdana menteri minit "Bersetuju dengan cadangan ini dan sila uruskan perkara ini."

"Oleh kerana ini adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Kewangan, Tan Sri Nor Mohamed telah minta kepada saya untuk uruskan perkara ini," katanya.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-- BERNAMA