Tutup

Pernah terima e-mel minta kemas kini akaun bank? Mangsa ini hilang hampir RM5,000!

Pernah terima e-mel minta kemas kini akaun bank? Mangsa ini hilang hampir RM5,000!
Elakkan diri daripada menjadi sasaran mudah sindiket penipuan!
KUANTAN: Gara-gara terus mempercayai kandungan e-mel yang dihantar kepadanya tanpa usul periksa, seorang pegawai kanan kerajaan di Temerloh terpaksa menanggung kerugian hampir RM5,000, Ahad lalu.

Insiden bermula apabila mangsa wanita berusia 50 tahun berkenaan menerima e-mel berkenaan yang meminta dia mengemas kini akaun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa tidak mengesyaki apa-apa kemudian turut memasukkan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) ketika mengemas kini maklumat perbankan internetnya itu.

"Mangsa kemudian menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dipercayai daripada pihak terbabit yang memaklumkan mangsa telah menambah sebuah akaun bank dari bank lain sebagai 'favourite account transfer'.
"Mangsa mendakwa, dia tidak mengenali dan tidak pernah mendaftar akaun tersebut," katanya dalam satu kenyaan media di sini pada Rabu.

Mohd Wazir berkata, mangsa mula curiga lalu membuat semakan akaunnya melalui pihak bank dan mendapati wangnya berkurangan sebanyak RM4,980 dan bertindak menyekat akaun banknya bagi mengelak berlaku transaksi pengeluaran wang oleh pihak lain.

"Selepas menyekat akaun banknya, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu tidak dikenali dipercayai anggota sindiket bertanyakan transaksi akaun banknya sebelum meminta nombor empat digit terakhir kad banknya, namun mangsa tidak melayan sebaliknya terus menamatkan panggilan," katanya.

Beliau berkata, mangsa telah membuat semakan semula e-mel diterima bagi mengemas kini akaun bank miliknya itu dan mendapati ia telah dipadamkan, sedangkan dia tidak pernah memadamkan e-mel itu dari senarai masuk.

Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis semalam dan kes siasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.


Tag: macau scam, sindiket penipuan, janayah, jsjk, polis, pdrm, sms, akaun bank



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.