Sekumpulan perompak berpistol berputih mata apabila tidak sempat melarikan barang kemas di sebuah premis di Jalan Lapangan Terbang, Medan Gopeng Ipoh, pada Jumaat setelah diacukan senapang oleh pengawal keselamatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, dua suspek telah melepaskan empat das tembakan ke arah dinding bertujuan untuk menakutkan dua pekerja wanita dan pemilik premis berkenaan.

Bagaimanapun, suspek tidak menyedari bahawa terdapat seorang pengawal keselamatan yang mengacu senapang ke arah mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, pengawal keselamatan berusia 40-an itu hanya mengacu senjata tanpa melepaskan tembakan.

Ujarnya, pihaknya percaya terdapat lebih dua suspek dalam kejadian itu dan mereka telah melarikan diri dengan menaiki Perodua Myvi berwarna hitam ke arah Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.

“Ketka kejadian itu, di dalam premis tidak ada pelanggan. Tiba-tiba masuk seorang lelaki bertopeng telah melepaskan empat das tembakan dan semasa dia cuba masuk, guard (pengawal keselamatan) yang ada di dalam (premis) telahpun mengacukan senapang kepada suspek.

“Disebabkan suspek terkejut kerana tidak menyangka akan ada guard di dalam tu, suspek tidak berjaya melarikan barang-barang kemas.

“Semasa siasatan lanjut, lebih kurang 500 meter daripada tempat kejadian ni, kita telah menemui kenderaan yang digunakan (oleh suspek) telah dibakar tapi ia terbakar hanya di bahagian dalam,” ujar Anuar.

Anuar berkata, hasil siasatan mendapati kereta yang menggunakan nombor pendaftaran palsu itu telah dilaporkan hilang di Kuang, Selangor, April lalu.

Orang ramai atau saksi kejadian boleh salurkan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membantu siasatan.

Katanya, siasatan dijalankan Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 kerana melepaskan tembakan ketika samun.