Sebuah Mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) di Bangunan Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Napoh, di Changlun diletupkan dalam cubaan rompakan awal pagi tadi.

Kejadian pada jam 2.40 pagi itu disedari orang awam yang melalui kawasan berkenaan selepas terlihat kepulan asap keluar dari bangunan terbabit..

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, sebaik menerima laporan sebuah sebuah kereta peronda telah dikerah ke lokasi kejadian.


Katanya setelah tiba polis terlihat kepulan asap keluar dari ruang bilik yang menempatkan mesin ATM terbabit.

Suspek disyaki menggunakan bom buatan sendiri dengan diselitkan pada bahagian pintu mesin ATM untuk tujuan diletupkan.

Bagaimanapun katanya bom yang digunakan gagal untuk memecahkan pintu mesin ATM terbabit..

Hasil siasatan forensik mendapati terdapat beberapa kesan hangus disyaki belerang pada sebelah kiri mesin ATM dan juga pintu mesin ATM

Polis juga menemui beberapa butir bebola besi kecil dipercayai digunakan untuk membuat bom.

Bagaimanapun bahan yang digunakan untuk membuat bom gagal ditemukan di tempat kejadian..

Polis sedang meneliti rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) bagi mengenalpasti suspek.

Kes disiasat mengikut seksyen 457 dan 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api..