Seorang perompak maut akibat ditembak pengawal keselamatan sebuah bank dalam satu insiden rompakan dengan mangsa tebusan di Air Tawar 5, Kota Tinggi pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Ashmon Bajah, suspek warga tempatan berusia 19 tahun itu membawa senjata yang merupakan sebilah sabit ketika memasuki bank tersebut.

Jelasnya, suspek juga telah mengacukan senjata tersebut di leher seorang wanita tempatan yang merupakan pelanggan bank.

Bertindak atas keselamatan pelanggan dan pekerja bank, pegawai keselamatan yang bertugas telah melepaskan tembakan menggunakan senjata jenis ‘pump gun’ terhadap suspek.

Tembakan yang dilepaskan terkena bahagian rusuk sebelah kanan suspek dan suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat suspek dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan.