Tutup

Persatuan Qariah Masjid Pulau Pinang akur penggunaan pembesar suara masjid dihadkan

Persatuan Qariah Masjid Pulau Pinang akur penggunaan pembesar suara masjid dihadkan
MOHD YUSOFF: Sekiranya kita mahu mendapatkan penjelasan lebih, wajarlah qariah buat pertemuan dengan mufti kerana ia dibuat oleh majlis negeri.
GEORGE TOWN: Persatuan Qariah Masjid Pulau Pinang akur dengan cadangan Jabatan Mufti Pulau Pinang untuk menghadkan penggunaan pembesar suara masjid dan surau di negeri itu hanya untuk laungan azan dan iqamah.

Yang DiPertuanya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata pihaknya percaya perkara itu telah diperhalusi oleh pihak berkaitan demi memelihara imej agama islam yang mementingkan kesejahteraan hidup untuk individu serta masyarakat.
Dalam masa sama, beliau menyarankan kepada mana-mana ahli jawatankuasa qariyah masjid yang mahu mendapatkan penjelasan terperinci mengenai keputusan itu supaya merujuk kepada Jabatan Mufti Dan Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP).

"Kita berpendapat ini, adalah keputusn yang dibuat Majlis Fatwa Negeri. Ia dibuat selepas mengambil kira persekitaran. Itu satu keputusan yang dibuat sewajarnya kita hormat sebagai umat islam dan qariah.
"Kita kena hormat keputusan yang dibuat majlis fatwa jadi kita jangan terpengaruh dengan keputusan. Kalau sekiranya kita mahu mendapatkan penjelasan lebih, wajarlah qariah buat pertemuan dengan mufti kerana ia dibuat oleh majlis negeri. Biar apa jua yang dibuat, sebagai umat islam kita kena hormat," tambah Mohd Yusoff.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan pembesar suara hanya dibenarkan untuk laungan azan dan iqamah sahaja dan tidak lagi dibenarkan bagi tujuan kuliah agama, bacaan zikir dan alunan ayat suci Al-Quran sebelum laungan azan.

Cadangan menghadkan penggunaan pembesar suara luar masjid di Pulau Pinang dinyatakan dalam pekeliling dari Jabatan Mufti Pulau Pinang bertarikh 1 September lepas berhubung keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang bertarikh 1 dan 2 Julai lalu.

Penggunaan pembesar suara di bahagian dalam masjid dan surau bagi program-program tersebut bagaimanapun dibenarkan.

Larangan dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan terutama untuk memelihara imej agama Islam yang mementingkan kesejahteraan hidup untuk individu serta masyarakat.