Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Persediaan emosi bantu pelajar lalui normal baharu kembali ke sekolah

Persediaan emosi bantu pelajar lalui normal baharu kembali ke sekolah
Ibu bapa juga perlu menjelaskan perubahan yang bakal berlaku di sekolah, peraturan normal baharu kepada anak-anak. - Gambar Bernama
PENDEKATAN menyeluruh pihak sekolah dalam memastikan keperluan emosi pelajar kembali bersekolah dalam situasi normal baharu perlu diberikan keutamaan.

Kita juga tahu bahawa segelintir pelajar mungkin mampu menyesuaikan diri dengan cepat dan kembali semula kepada proses pembelajaran seperti sediakala sewaktu proses transisi namun ada segelintir yang memerlukan lebih sokongan bagi menghadapi perubahan dan membentuk kembali resilien. 

1. Persediaan emosi sebelum bermulanya sekolah

Menilai tahap kesediaan pelajar dan ibu bapa.
Sepanjang tempoh kawalan pergerakan bermula sejak pertengahan Mac yang lalu sehingga bermulanya fasa PKP pemulihan, pelbagai inisiatif telah dijalankan oleh guru bagi memastikan kesinambungan proses pembelajaran berlaku sewaktu pelajar berada di rumah.

Interaksi atas talian ini boleh dimanfaatkan pada masa transisi persediaan ke sekolah dengan guru mengadakan interaksi bagi menilai kesediaan pelajar untuk kembali ke sekolah serta meluahkan perasaan risau dan kebimbangan yang mungkin dialami oleh segelintir pelajar dan ibu bapa.
Interaksi ini juga merupakan peluang bagi guru mengetahui kebimbangan yang dihadapi oleh pelajar serta mengenalpasti mereka yang berisiko dari segi fizikal dan mental.

Sepertimana pelajar berinteraksi bersama guru, ibu bapa dan penjaga boleh turut bersama-sama menggunakan peluang transisi ini dengan meluahkan kebimbangan berkaitan kesihatan dan kesejahteraan anak mereka sewaktu kembali ke sekolah.

Komunikasi bertulis dan multimedia.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengedarkan garis panduan pembukaan sekolah yang lengkap membabitkan aspek pelaksanaan dan pengurusan prasarana, termasuk kehadiran murid serta penjarakan sosial di bilik darjah, dewan makan, asrama serta kantin.

Bagi memudahkan penyampaian maklumat tersebut kepada ibu bapa dan pelajar, pihak sekolah boleh secara proaktif menyampaikan maklumat tersebut dengan menggunakan cara penyampaian yang lebih mudah seperti menggunakan video, infografik atau gambar susun atur kelas termasuklah kawasan sekolah yang telah berubah.

Ini dapat membantu ibu bapa dan pelajar membuat persediaan awal bagi menyesuaikan diri dengan perubahan yang bakal berlaku disamping membantu mengurangkan kekeliruan dan kerisauan yang dialami untuk kembali bersekolah.

Menggunakan platform pembelajaran atas talian.

Minggu-minggu seterusnya merupakan tempoh yang penting bagi menyediakan pelajar untuk kembali semula bersekolah. Peluang ini boleh digunakan untuk memberikan pelajar tugasan di rumah serta makluman berkaitan sekolah norma baharu yang dapat membantu pelajar melalui proses transisi sebelum kembali ke sekolah. 

Persediaan ibu bapa di rumah

Manakala bagi ibu bapa di rumah pula, persediaan awal bagi anak kembali bersekolah boleh dimulakan dengan mengajak anak untuk berkongsi idea berkaitan keperluan kembali ke sekolah.

Interaksi ini termasuklah menjelaskan kepada anak bahawa mereka akan kembali semula ke sekolah sekiranya diumumkan oleh kerajaan setelah berada di rumah selama beberapa bulan.

Selain aspek keperluan fizikal seperti penyediaan pakaian seragam, alat-alat keperluan sekolah dan keperluan penjagaan diri seperti face-mask dan hand-sanitizer, ibu bapa juga perlu menjelaskan perubahan yang bakal berlaku di sekolah, peraturan norma baharu melibatkan pengambilan suhu badan, penjarakan sosial di bilik darjah, kantin serta kebersihan diri dengan menggunakan bantuan infografik dan gambar yang bersesuaian dengan tahap pemahaman anak.

Selain persediaan fizikal, ibu bapa juga perlu bertanya aspek emosi dan perasaan anak untuk kembali ke sekolah. Peka dan dengar luahan emosi mereka termasuklah kebimbangan sekiranya ditegur, dimarahi atau berlaku sesuatu yang tidak diingini seandainya mereka terlupa untuk mematuhi peraturan sekolah norma baharu.

Bantu mereka untuk mengatasi perasaan sebegini dengan berbincang dan minta mereka untuk berfikir dan sama-sama cuba mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian.

2. Sekembalinya pelajar ke sekolah

Bantu pelajar membiasakan diri dengan rutin norma baharu.

Pelajar perlu diberikan makluman bahawa banyak aktiviti yang akan mengalami perubahan bagi mematuhi garispanduan yang telah ditetapkan.

Oleh yang demikian, inisiatif yang sedang dilakukan oleh pihak sekolah dalam usaha membantu pelajar untuk menyesuaikan diri dengan suasana norma baharu ini amatlah dihargai.

Contoh yang boleh dilakukan adalah seperti mewujudkan jadual aktiviti mengikut rutin yang telah ditetapkan dan mungkin juga boleh diadakan sistem ganjaran bagi menggalakkan tingkahlaku positif. Sentiasa ingatkan dan lakukan perbincangan dengan pelajar berkaitan perubahan yang berlaku bagi memastikan kesihatan semua orang di sekolah.

Wujudkan ruang selamat untuk berinteraksi.

Guru perlu menyeimbangkan diantara meraikan pencapaian pelajar yang mampu mengikuti pelajaran dengan baik sewaktu PKP dan cabaran yang dihadapi oleh sebahagian pelajar lain yang tidak dapat melaksanakan pembelajaran di rumah dalam tempoh yang sama kerana kekangan tertentu.

Dengan mewujudkan ruang untuk berinteraksi dapat memberikan peluang untuk pelajar meluahkan dan berbincang dengan lebih selesa. Perbincangan seperti ini juga mampu memberikan kelegaan kepada pelajar yang mengalami situasi yang kurang bernasib baik seperti rakan mereka yang lain.

Peranan guru kaunseling dan pembimbing rakan sebaya.

Bagi segelintir pelajar yang mungkin mengalami masalah kerisauan yang berterusan walaupun setelah rutin harian berjalan seperti biasa mengikut norma baharu, mereka perlu diberikan perhatian dan perancangan secara individu termasuklah kebenaran untuk mereka berada di ruang selamat ini dengan dibantu oleh guru kaunseling dan pembimbing rakan sebaya untuk tempoh tertentu sekiranya diperlukan.

Mengenalpasti proses untuk pelajar bertanya soalan dan berkongsi kebimbangan.

Setiap pelajar mengikut setiap peringkat umur pastinya mempunyai pelbagai persoalan berkaitan norma baharu dan perubahan global. Bukan semua pelajar mempunyai keberanian dan keyakinan untuk bertanya persoalan ini sama ada di rumah atau semasa pembelajaran atas talian. Memperuntukkan masa khusus yang bersesuaian bagi pelajar bertanya soalan dan meluahkan kebimbangan mereka adalah penting dan proses ini dapat membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi.



*Dr Rahima Dahlan @ Mohd Shafie ialah Pakar Psikiatri Kanak-kanak & Remaja, Jabatan Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM.

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.


Tag: sekolah, pelajar, Kementerian Pendidikan, guru, penjarakan sosial, COVID-19, normal baharu, pendidikan, persekolahan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.