MALAYSIA
Persidangan Parlimen 18 Mei ini sah - Pakar Perlembagaan

Dr Shamrahayu A Aziz memberitahu, Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan hanya menetapkan persidangan Parlimen perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas sidang terakhir diadakan. - Gambar fail
Persidangan Parlimen yang dijadualkan diadakan selama sehari pada 18 Mei ini adalah sah dari segi undang-undang.
Menurut pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan hanya menetapkan persidangan Parlimen perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas sidang terakhir diadakan.
Beliau memberitahu, tidak ada mana-mana klausa dalam Perlembagaan yang menyebut mengenai jumlah hari persidangan atau mengenai perbahasan.
"Ini bermaksud persidangan pada 18 Mei ini adalah menepati peruntukan Perlembagaan dan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan kenyatan media yang dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah tidak menyalahi peraturan," katanya ketika temubual di Astro AWANI melalui Skype di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Shamrahayu memberitahu, dalam konteks undang-undang, perbahasan pada persidangan Parlimen kali ini hanya ditangguh dan bukannya dihalang.
Ekoran itu katanya, isu mengenai perbahasan adalah tidak wajar dipersoalkan.
Katanya beliau, ini bermakna usul undi tidak percaya akan diletakkan di akhir agenda selepas selesai agenda kerajaan termasuk perbahasan rang undang-undang.
Katanya, ia mungkin menjadi kekuatan kepada kerajaan untuk melupakan sebentar mengenai usul undi tidak percaya.
Dalam perkembangan yang sama, beliau menambah, bidang kuasa Parlimen hanya membenarkan ahli Dewan Rakyat itu untuk menentukan undi tidak percaya dan bukannya menyatakan kepercayaan kepada individu lain untuk menjadi perdana menteri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami