Usaha mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera bukanlah sesuatu yang bersifat perkauman, tegas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Tegasnya, tanggapan seumpama ini perlu diubah melalui pemahaman konteks peranan Melayu dan Bumiputera dalam membawa negara kembali ke landasan yang betul untuk bergelar Harimau Asia.

“Mempertahankan Melayu dan hak Bumiputera bukanlah sesuatu yang bersifat ‘racist’. Konteks ini perlu diperhalusi oleh semua rakyat negara ini sama ada Melayu atau kaum lain.

“Melayu adalah penting untuk mengekalkan kestabilan negara kerana ciri-cirinya terletak kepada identiti, kesan sejarah dan latar belakang kewujudan negara,” katanya dalam ucapan Dasar Bumiputera pada Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia di Universiti Teknologi MARA di sini, pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan orang Melayu agar tidak malas dan selesa di takuk lama.

“Justeru itu, sebagai orang Melayu kita tidak boleh lagi berada pada takuk lama serta culas dan jumud dalam mengekspresikan makna sebenar hak-hak Bumiputera sedia ada.

“Sebagai Melayu yang berjiwa besar kita perlu menghormati dan berpegang teguh kepada prinsip Keluhuran Perlembagaan demi menangkis anasir yang menyatakan bahawa kontrak sosial yang sedang diamalkan oleh Malaysia adalah sebuah kontrak yang ‘Ketinggalan Zaman’ sehingga menyentuh kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini,” katanya lagi.