Pertambahan 15,000 tempat untuk program matrikulasi, yang diputuskan oleh jemaah Menteri baru-baru ini, tidak akan menjejaskan proses pemilihan pelajar pengambilan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke peringkat ijazah pertama di Universiti Awam (UA).

Perkara ini kerana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengamalkan prinsip meritokrasi dalam pengambilan pelajar menurut kenyataannya pada Isnin.

“Berdasarkan prinsip ini, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA,” katanya.

Selain itu, calon-calon yang layak dan memenuhi syarat am, syarat khas program pengajian serta kriteria pemilihan yang ditetapkan akan dipertimbangkan berdasarkan kepada pilihan program pengajian yang dipohon.

“Proses pemilihan pelajar bergantung kepada pengiraan markah merit iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum,” ujarnya.

Tambahnya lagi, markah akademik bagi kedua-dua lepasan STPM dan Matrikulasi juga berdasarkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang diperoleh oleh calon yang memohon.

Dalam tempoh dua tahun sejak 2017, lepasan STPM menunjukkan pertambahan sebanyak 4,242 tawaran (21.07 peratus) manakala lepasan Matrikulasi meningkat sebanyak 1,981 tawaran (10.83 peratus) pada sesi 2018/2019.