Tutup

Pertemuan sulit 1MDB dengan Jho Low dibuat waktu malam

Pertemuan sulit 1MDB dengan Jho Low dibuat waktu malam
eorang saksi penting mendedahkan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa modus operandi pertemuan sulit untuk membincangkan urusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low diadakan di hotel. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang saksi penting mendedahkan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa modus operandi pertemuan sulit untuk membincangkan urusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low dibuat pada waktu malam di sebuah hotel di sini.

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43 tahun, bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, modus operandi bagi perjumpaan malam berlaku di mana apabila mereka (beliau bersama Jho Low dan Datuk Azlin Alias (ketika itu bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib) tiba di Hotel Prince di sini, mereka akan diiringi (escort) oleh pengawal peribadi Jho Low ke bilik hotel sejurus sampai di lobi.
Saksi pendakwaan kelapan itu berkata, kebiasaannya beliau dan Datuk Azlin akan datang ke hotel tersebut secara berasingan.

“Nombor pendaftaran kereta kami menjadi rujukan kepada bodyguard dan biasanya ada 1-2 orang bodyguard Melayu yang akan mengiringi kami. Kami akan ‘dikuarantinkan’ sewaktu menunggu Jho (Jho Low) biasanya dalam bilik suite yang mempunyai bilik, meja makan dan sofa.
"Kami biasanya menunggu 30 minit sehingga satu jam. Walaupun kami kerap kali berjumpa di Hotel Prince tetapi perjumpaan tersebut berlaku di bilik yang berlainan setiap kali diadakan. Apabila Jho tiba, kebiasaannya beliau berbaju batik serta kerap kali dalam keadaan bergegas.

"Beliau juga sentiasa sampai lewat daripada masa yang dijanjikan. Setibanya di bilik pertemuan, biasanya kami bermula dengan cakap-cakap kosong dan Jho akan mengedarkan dokumen kepada kami dengan susunan yang teratur bagi tujuan perbincangan,” katanya semasa membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Amhari Efendi berkata, perjumpaan mereka adalah berkenaan dengan arahan-arahan dan pertemuan-pertemuan sulit antara beliau, Jho Low dan Datuk Azlin di mana Jho Low akan menghubunginya melalui pesanan ringkas telefon bimbit untuk meminta mengaturkan pertemuan bersama Datuk Azlin.

Katanya, beliau kemudian akan merujuk perkara itu kepada Datuk Azlin untuk menyelaras masa yang sesuai.

“Perjumpaan kami selalunya berlaku pada waktu malam di Prince Hotel Kuala Lumpur. Kerap kali pada malam perjumpaan kami, Jho akan ke rumah Datuk Seri Najib dahulu di Jalan Langgak Duta untuk berbincang dan mendapat pengesahan dokumen-dokumen yang akan dibincangkan dengan kami. Perkara ini kami tahu kerana Jho yang maklumkan sendiri kepada kami.

"Kerap kali, Jho akan email dahulu dokumen yang akan dibincangkan sebelum perjumpaan diadakan. Namun setiap kali perjumpaan, Jho akan membawa sendiri salinan-salinan yang diperlukan untuk pertemuan sulit kami,” katanya.

Beliau berkata, oleh sebab itu, kebiasaannya mereka tidak akan mencetak email yang dihantar itu kerana kebiasaannya ada juga tambahan kepada dokumen yang dibawa oleh Jho Low seperti salinan surat-surat dan minit-minit daripada Najib.

Beliau berkata, Najib sendiri tidak pernah mengarahkan beliau dan Datuk Azlin berjumpa Jho Low bagi pertemuan malam tersebut tetapi beliau telah menggunakan Jho Low untuk mengarahkan kami.

Katanya, beliau tahu apa yang diarahkan oleh Jho Low adalah apa yang telah dipersetujui oleh Najib kerana seperti yang telah beliau jelaskan, ada beberapa kali Datuk Azlin atau beliau sendiri berjumpa dengan Najib untuk mengesahkan tentang arahan-arahan yang diterima berdasarkan dokumen-dokumen yang Jho Low bekalkan kepada mereka berdua.

“Datuk Seri Najib pada kebanyakan masanya tidak mempersoalkan arahan-arahan tersebut dan akan bersetuju untuk tindakan-tindakan lanjut dilaksanakan.

Email-email yang dihantar kepada saya dan Datuk Azlin oleh Jho amat sulit dan kerapkali ia dihantar dengan alamat email yang rawak. Saya mengesahkan bahawa alamat email yang selalu digunakan oleh Jho bagi mengatur pertemuan dan menghantar dokumen kepada saya dan Datuk Azlin ialah dealrainman1@gmail.com.

"Saya boleh mengesahkan ini adalah alamat email Jho kerana tajuk-tajuk atau rumusan email ini adalah sama dengan perkara yang dibincangkan dalam pertemuan antara kami kemudiannya. Datuk Azlin juga biasa merujuk email Jho kepada saya dengan menyebut "dealrainman",” katanya.

Beliau berkata email-email itu akan dihantar kepadanya di alamat amharifnd@yahoo.co.uk dan kepada Datuk Azlin di alamat azlinalias@gmail.com. dan kebiasaannya, Jho Low akan menghantar email ditujukan kepada Datuk Azlin dan disalinkan kepadanya (saksi).

“Selepas isu 1MDB banyak diperkatakan oleh umum, Jho kerap kali meletakkan password pada setiap dokumen yang dilampirkan pada email beliau. Password tersebut akan dimaklumkan kepada saya dan Datuk Azlin melalui mesej BBM,” katanya.