Pertimbang keputusan minta guru Bahasa Inggeris ambil MUET

Pertimbang keputusan minta guru Bahasa Inggeris ambil MUET
Peperiksaan MUET perlu dilakukan sebelum hujung Disember dan dibuat dengan pembiayaan sendiri. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan digesa mempertimbangkan semula arahan supaya guru yang mengajar bahasa Inggeris menduduki peperiksaaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

Arahan itu dikeluarkan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin dalam satu pekeliling pada 14 April lalu, bagi melihat semula tahap penguasaan bahasa Inggeris yang selari dengan keperluan termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat Hock dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa berkata perkara tersebut hanya akan membebankan lagi guru yang sudah terbeban dengan tanggungjawab sedia ada.

Menurutnya, dalam usaha memperkukuh lagi penguasaan bahasa Inggeris, kementerian perlu melihat isu utama yang melanda sekolah melibatkan masalah kekurangan guru bahasa Inggeris.
"Guru mengajar bahasa Inggeris telah diminta untuk menduduki peperiksaan MUET sedangkan guru-guru opsyen ini mempunyai kelayakan mengajar bahasa Inggeris seperti kelayakan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).

"Sementara guru bukan opsyen bahasa Inggeris (guru tidak terlatih dalam bidang dan terpaksa mengajar kerana kekurangan guru) sudah tentunya tidak dapat mencapai tahap yang tertentu kerana bahasa Inggeris bukan bidang mereka," katanya.

Menurut arahan pekeliling itu, semua guru opsyen bahasa Inggeris juga perlu berada pada tahap penguasaan minimum C1 dalam kalayakan "Common European Framework of Reference for Languages (CEFR)".

Peperiksaan MUET tersebut juga perlu dilakukan sebelum hujung Disember tahun ini dan dibuat dengan pembiayaan sendiri.

Sementara itu, Tan berkata selain mengajar, guru bahasa Inggeris juga terpaksa melakukan pelbagai program dan aktiviti berbanding dengan guru mata pelajaran lain seperti melaksanakan program 'Highly Immersive Programme' dan 'Professional Learning Community'.

"Guru-guru ini juga terpaksa melatih murid untuk aktiviti pertandingan seperti debat, drama dan choral speaking (pengucapan atau bicara berirama)," katanya.

-- BERNAMA