Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) berharap pendedahan demi pendedahan insiden di pusat-pusat tahfiz baru-baru ini dapat memberikan kesedaran perihal pentingnya satu sistem kawal selia dan jaminan kualiti dipertingkat di pusat-pusat tahfiz seluruh negara.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM, Prof. Dr. Omar Yaakob berkata pertubuhan itu berharap satu garis panduan dapat digubal oleh Kerajaan.

“IKRAM menggesa pihak kerajaan menyediakan satu sistem kawal selia dan jaminan kualiti untuk meningkatkan kualiti dan standard dalam bidang-bidang berkenaan. Satu garis panduan perlu digubal bagi mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook pertubuhan itu.

Menurutnya lagi, pendedahan juga jelas mencerminkan satu trend yang baik dari segi kesedaran ibu-bapa tentang peri pentingnya didikan agama namun berharap kelemahan sedia ada dapat diperbaiki untuk kebaikan semua pihak.

“IKRAM prihatin dengan kualiti dan standard yang disediakan oleh pusat-pusat tahfiz berkenaan. Ini termasuk falsafah pendidikan yang dijadikan panduan, kelayakan kepimpinan dan pendidik, kurikulum dan kokurikulum, sistem pengurusan dan pentadbiran, standard prasarana dan infrastruktur, kaedah pengajaran dan pembelajaran, ciri keselamatan asrama dan seumpamanya,” katanya.

Tambahnya pertubuhan itu memandang serius beberapa insiden yang dilaporkan yang melibatkan pusat tahfiz baru-baru ini.

Ini termasuk kes guru yang dilaporkan membelasah pelajar di Sungai Petani, kebakaran madrasah tahfiz di Sabak Bernam dan Tawau serta isu mutakhir yang melibatkan dakwaan penderaan seksual terhadap pelajar di sebuah pusat tahfiz di Ipoh.

Pertubuhan itu juga menawarkan diri untuk berkongsi pengalaman dalam mengendalikan lebih 40 buah sekolah rendah dan menengah Islam serta maahad tahfiz di seluruh negara.