Pertubuhan masyarakat sivil diminta beri cadangan menambah baik bantuan ke Gaza

Pertubuhan masyarakat sivil diminta beri cadangan menambah baik bantuan ke Gaza
Saifuddin menyerahkan Jalur Gemilang kepada Ahmad Sani pada sesi Flag Off Misi Kemanusiaan 'Rebuild Gaza For Ummah' oleh Mapim di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, 8 Julai, 2019. --fotoBERNAMA
SEPANG: Kerajaan menjemput semua pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pihak-pihak berkepentingan berkaitan dalam penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza untuk mengemukakan cadangan mengenai bagaimana untuk mengoptimumkan penggunaan sumber apabila menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata CSO boleh memberikan input kepada kerajaan mengenai cara terbaik untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada mereka di lapangan yang membantu rakyat Palestin.

"Wisma Putra sedang mengkaji penyaluran wang kepada perjuangan rakyat Palestin.
"Contohnya jika kerajaan membelanjakan USD100,000 untuk membantu rakyat Palestin, kita mengkaji kemungkinan bagaimana sebahagian daripada wang itu dapat disalurkan kepada CSO utama di lapangan (yang melakukan penyaluran bantuan kemanusiaan)," katanya kepada media selepas mengucapkan selamat jalan kepada delegasi ke Gaza, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.

Delegasi untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan, terdiri daripada lapan orang sukarelawan diketuai oleh ketua pegawai eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby, akan kembali ke Malaysia pada 19 Julai.

Sementara itu, Dr Ahmad Sani berkata delegasinya bersyukur kerana dapat memasuki Gaza kali ini selepas 40 percubaan gagal untuk memasuki zon konflik itu dalam tempoh enam tahun.

Semasa berada di Gaza, beliau berkata MAPIM akan merasmikan pusat kebudayaan Malaysia dan pusat kajian pendidikan.

-- BERNAMA