Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili orang kelainan upaya (OKU) membidas rancangan menggantikan bas perantara dengan perkhidmatan Grab untuk mengangkut pengguna MRT.

Penyelaras kumpulan "Barrier-Free Environment and Accessible Transport" (BEAT) Christine Lee berkata tugas dan tanggungjawab kerajaan adalah memberikan pertimbangan sewajarnya kepada kumpulan miskin dan terpinggir yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam untuk bergerak.

Beliau berkata soal kemampuan menjadi isu utama yang menjadi perhatian, kerana bas perantara ketika ini hanya mengenakan bayaran RM1 untuk satu perjalanan, malah diberikan lagi diskaun buat warga emas, pelajar dan OKU, sedangkan perkhidmatan Grab boleh melonjak sehingga 10 kali ganda terutama ketika waktu puncak.

"Bagi OKU selain aspek kemampuan, soal akses juga menjadi kebimbangan utama. Ketika ini semua bas perantara dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk OKU antaranya seperti tempat duduk mesra kerusi roda, dilengkapi dengan 'ramp' khas untuk bantu pergerakan OKU, butang loceng khas dan lain-lain lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lepas Setiausaha Politik Menteri Kewangan Tony Pua dilaporkan berkata kerajaan sedang berbincang dengan syarikat e-hailing Grab untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pengguna perkhidmatan MRT.

-- BERNAMA