Penduduk di Gurney Park di sini menzahirkan rasa bimbang ekoran pertumbuhan operasi Airbnb di kawasan perumahan mereka tentang kemungkinan berlaku pencerobohan privasi oleh penyewa yang tidak dikenali.

Penasihat Persatuan Kesedaran Penduduk Chant Pulau Pinang (Chant), Yan Lee pada Selasa berkata kebimbangan itu disebabkan mereka tidak mengenali penyewa atau pelancong yang hadir bersilih ganti di kawasan itu.

"Perkara ini telah berlarutan sejak beberapa tahun yang lepas sejak aplikasi sewaan ini mula popular. Saya percaya masalah ini dialami oleh penduduk di seluruh dunia. Kini tiba masanya untuk pihak berkuasa ambil tindakan dan jalankan penguatkuasaan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini.

Menurutnya, pihak berkuasa khususnya kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu mengambil tindakan untuk mengawal selia operasi sewaan perumahan dengan lebih serius.

"Dari segi undang-undang, unit residensi tidak boleh disewakan kerana itu sudah menyalahgunakan unit perumahan untuk menjalankan perniagaan. Sekiranya unit yang disewakan ialah unit komersial, penduduk tidak mempunyai masalah.

"Saya cadangkan agar pihak berkuasa menjalin kerjasama dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebagai satu daripada alternatif mengawal selia operasi Airbnb dan laman sesawang lain demi keselamatan semua," kata Lee.

-- BERNAMA