Peruntukan RM2.56 bilion untuk Belanjawan Selangor 2019 - Amirudin

|

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2019 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: : Sebanyak RM2.56 bilion dianggarkan untuk perbelanjaan bagi Belanjawan Negeri Selangor 2019, menurut Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.28 bilion atau 50 peratus telah diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan 50 peratus lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

"Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri akan melaksanakan perbelanjaan seimbang di antara peratusan belanja pembangunan dengan peratusan belanja mengurus.

"Belanjawan 2019 dijangka mengalami defisit berjumlah RM360 juta berpunca dari peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan.

"Pengalaman empat belanjawan yang lalu membuktikan perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja cekap dan berintegriti dan menutup ruang pembaziran serta ketirisan telah berjaya mengubah belanjawan defisit kepada belanjawan berimbang dan mengurangkan belanjawan defisit kepada satu jumlah yang munasabah," katanya dalam ucapan semasa membentangkan Belanjawan Selangor 2019 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Dalam pada itu tegas Amirudin, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Dasar Penilaian Perolehan Secara Sistem 'Cut-off' mulai dari tahun 2015 bagi menilai semua tender dan sebut harga yang dipelawa secara terbuka.

"Sejak tahun 2015, sejumlah 467 projek dengan anggaran kos sebanyak RM3.71 bilion telah dinilai.

"Hasil daripada pelaksanaan kaedah ini yang dibuat secara telus dan berintegriti, maka sehingga 15 November 2018, Kerajaan Negeri telah merekodkan penjimatan sebanyak RM510.1 juta.

"Berkat dari hasil langkah Kerajaan Negeri melaksanakan perbelanjaan secara berhemah inilah yang dipulangkan semula kepada rakyat melalui pelbagai program dan inisiatif," katanya lagi.


Dapatkan berita terus ke emel anda!

Langgan dan dapatkan berita utama harian terus ke emel anda setiap hari!

Terima Kasih
Terima Kasih!
Outbrain