Tutup

Peruntukan RM20 juta untuk e-sukan: 'Anak saya marah saya' - Guan Eng

Peruntukan RM20 juta untuk e-sukan: 'Anak saya marah saya' - Guan Eng
Lim berkata, sesuatu industri itu perlu diterokai terlebih dahulu untuk melihat impak dan manfaatnya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengakui pernah menghalang anaknya melayan permainan e-sukan, selain tidak melihat industri itu sebagai sesuatu yang mempunyai potensi besar.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, beliau berbuat demikian kerana 'tidak faham' mengenai trend permainan dalam talian itu dan impaknya kepada ekonomi.

“Sebenarnya saya pun tidak faham e-games (e-sukan). Saya masih ingat, semasa anak saya masih kecil, dia bermain e-games, saya pula marah sama dia.

“Tetapi sekarang, ia menjadi industri yang sangat besar sekali, sehingga menjadi salah satu (kategori) dalam Sukan SEA, dan saya difahamkan menjadi salah satu acara di Sukan Olimpik,” katanya dalam temu bual program Agenda AWANI, pada Ahad.

Bagaimanapun, kata Lim, kerajaan kini sedar bahawa industri tersebut berpotensi tinggi dan mengiktiraf e-sukan dengan memberikan peruntukan sebanyak RM20 juta menerusi pengumuman pembentangan Belanjawan 2020, Jumaat lalu.

“Jadi, tentu sekarang apabila saya beri peruntukan RM20 juta untuk e-games, sesuatu yang saya akui saya kurang faham, anak saya marah saya.
"(Kata anaknya) Dulu, saya disekat, sekarang anda pula galakkan. Tengok. Ayah yang salah,” ujarnya dalam nada berseloroh. 

Justeru itu, jelas Lim, sesuatu industri itu perlu diterokai terlebih dahulu untuk melihat impak dan manfaatnya.

“Jadi, saya rasa, yang penting ialah jangan takut, jangan resah. Apabila kita lihat industri itu besar, kita kena lihat macamana kita boleh kuasai atau pun dapat peluang ini,” ujarnya.