Cemburu kerana bekas kekasih mempunyai teman lelaki lain dipercayai motif kejadian tikam yang berlaku di sebuah pusat hiburan di Jalan Abu Siti di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, suspek yang memakai topi keledar masuk ke dalam pusat hiburan berkenaan sebelum bertindak menikam seorang lelaki di bahagian perut.

Akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 40 tahun mengalami kecederaan parah selepas perutnya terburai.

Difahamkan kejadian berkenaan turut disedari pemilik pusat hiburan berkenaan dan dia cuba meleraikan pergaduhan itu namun suspek turut menikamnya sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian tangan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek bertindak demikian selepas mangsa dikatakan menjalinkan hubungan dengan bekas kekasihnya yang dikenali sejak enam tahun lalu.

"Suspek dan bekas teman wanita merupakan rakan niaga dan mengusahakan sebuah kedai nasi ayam di Greenlane dan mereka tinggal bersama di sebuah rumah di Sungai Pinang sebelum ini.

"Difahamkan suspek dan bekas teman wanita pernah berselisihan faham sebelum ini dan mereka telah berpisah sejak sebulan yang lalu," katanya ketika dihubungi di sini.

Che Zaimani berkata, sepasukan polis daripada Bahagian Kongsi Gelap,Judi & Maksiat (D7) dan Jenayah Berat (D9) menggerakan Op Cantas bagi memburu suspek berkenaan.

Katanya, suspek berkenaan berjaya diberkas di sebuah pondok di Hong Seng Estate Pulau Tikus di sini kira-kira jam 6 pagi tadi.

"Suspek yang berusia 54 tahun mengaku terlibat dengan kes berkenaan dan dia bertindak menikam mangsa kerana cemburu disebabkan mangsa keluar bersama bekas teman wanitanya sebelum ini.

"Suspek kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.