Kira-kira 2.6 juta pesakit diabetis negara ini membelanjakan hampir RM1 bilion setahun untuk kos rawatan pesakit mereka.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Malaysia, Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, angka itu merupakan statistik dengan purata minimum RM30 yang dikeluarkan untuk rawatan bulanan seseorang pesakit.

``Pesakit menghabiskan sekurang-kurangnya RM78 juta sebulan untuk rawatan diabetis. Angka ini semakin meningkat pada kadar yang tidak dijangka.

``Ia semakin membimbangkan kini dengan penambahan pengidap daripada generasi muda yang dahulu dianggap penyakit golongan tua,'' katanya.

Dr. Lokman berkata demikian semsa sidang media selepas larian dan walkathon Hari Diabetis Sedunia 2013 di Dataran Merdeka.

Hari Diabetis disambut pada 14 November setiap tahun.

Dalam pada itu katanya, kerajaan sentiasa mengadakan program kesedaran kepada masyarakat untuk membendung penyakit ini.

''Masyarakat sendiri perlu membuat langkah pertama dalam mengamalkan gaya hidup sihat sekali gus usaha mencegah diabetis,'' ujarnya.

Lebih 4,200 peserta menyertai acara lima kilometer (km) walkathon dan larian tujuh dan 10 km yang dianjurkan Persatuan Endoktrin dan Metabolik malaysia (MEMS).

Selain larian, penganjur turut menyediakan khemah untuk orang ramai memeriksa tahap glukosa, analisa risiko diabetis dan kaunseling yang dijalankan pegawai kesihatan.

Dalam pada itu, Presiden MEMS, Prof. Dr. Nor Azmi Kamaruddin berkata, kehadiran peserta pada tahun ini merupakan paling ramai dengan peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam Bajet 2014 mencadangkan untuk memansuhkan subsidi gula sebanyak 34 sen berkuat kuasa 26 Oktober lalu.

Katanya, semua rakyat perlu menjaga kesihatan dan mengurangkan manis dalam minuman dan makanan.

Najib sendiri dalam satu pertemuannya dengan rakyat selepas itu menyatakan telah mengamalkan minum teh tanpa gula bagi mengekalkan kesihatan dan mengelakkan daripada pelbagai penyakit, terutamanya penyakit kencing manis.