Perutusan oleh "abah" selepas agak lama tidak muncul di kaca televisyen hari ini menyaksikan pelbagai pesanan telah dititipkan dalam usaha mengelakkan peningkatan mendadak jangkitan COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) antara lain menzahirkan kebimbangan susulan 13 kluster baharu dikesan sepanjang PKPP.

Beliau dalam pada itu menasihati rakyat di negara ini agar tidak mengambil mudah perkara itu bagi mengelakkan kerajaan mengambil langkah lebih tegas termasuk melaksanakan Perintah Berkurung.

Berikut tumpuan Perutusan Khas tersebut:

1. Kerajaan pertimbang langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam. Perincian akan diumum apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan.

2. Kerajaan zahir kebimbangan terhadap penularan COVID-19 selepas 13 kluster baharu dikesan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPP.

3. Rakyat di negara ini hampir menjalani kehidupan seperti biasa sejak pelaksanaan PKPP pada 10 Jun 2020. Petanda baik apabila sektor ekonomi sudah mula rancak.

4. Muhyiddin turut mengingatkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara supaya menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dengan penuh disiplin

5. Kegagalan mematuhi arahan pengasingan, penalti boleh dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, jika disabitkan kesalahan.