Tutup

Pesara tentera dakwa diperdaya 'bomoh dari laman sosial'

Pesara tentera dakwa diperdaya 'bomoh dari laman sosial'
Mohd Wazir berkata mangsa yang berusia 44 tahun mendakwa mengetahui perkhidmatan bomoh itu yang mendakwa berstatus 'Datuk' menerusi laman sosial. - Gambar hiasan
KUANTAN: Gara-gara mempercayai bomoh yang diketahui menerusi laman sosial, seorang pesara tentera mendakwa kerugian RM8,390 yang dibayar sebagai upah menilik nasib.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 44 tahun mendakwa mengetahui perkhidmatan bomoh itu yang mendakwa berstatus 'Datuk' menerusi laman sosial sekitar Jun lalu.
"Mangsa mendakwa tertarik dengan iklan perkhidmatan bomoh tersebut menyebabkan dia terus menghantar pesanan WhatsApp yang mana suspek mendakwa boleh membantunya menilik nasib.

"Bomoh itu juga dikatakan telah menawarkan diri untuk melakukan upacara sembahyang bagi pihak mangsa, jika tilikan itu mendapati mangsa tidak bernasib baik," katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.
Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa diminta membayar wang bagi upacara itu, dengan bayaran pertama sebanyak RM100 pada 3 Jun lalu, namun bomoh itu mengatakan wang itu tidak cukup dan meminta bayaran RM8,390 lagi dan mangsa kemudian memberikannya.

Beliau berkata apabila bomoh tersebut tidak boleh dihubungi sejak beberapa hari lalu, mangsa berasa curiga dan membuat laporan di balai polis Mentakab, Temerloh dekat sini, pada Rabu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


Tag: bomoh, laman sosial, tipu, pesara tentera, WhatsApp, sembahyang, tilikan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.