Tindakan seorang lelaki dan anak saudaranya mengambil dadah kononnya untuk menghilangkan tekanan ketika melakukan kerja di sawah mengundang padah apabila mereka ditahan ketika melalui sekatan pemeriksaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), di Bukit Kayu Hitam, malam tadi.

Kedua-dua mereka ditahan pada jam 7.30 malam ketika melalui sekatan pemeriksaan AADK di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) dengan menunggang motosikal dari arah Bukit Kayu Hitam menuju ke Changlun.

Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap bekas anggota tentera dan anak saudaranya itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan untuk tindakan lanjut.

Lelaki berusia 40 tahun itu mendakwa mengambil bahan terlarang itu bersama anak saudara berusia 20 tahun dengan alasan memudahkan dia melakukan kerja di sawah.

Pada mulanya dia merayu supaya dilepaskan kerana bimbang perbuatannya diketahui isteri dan dua anak perempuannya yang berusia 13 dan 17 tahun manakala anak saudaranya pula sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun.

Katanya, dalam sebulan dia menghabiskan kira-kira RM200 untuk membeli dadah menggunakan wang hasil mengerjakan sawah sedangkan dia mengakui wang itu sepatutnya digunakan sepenuhnya untuk menyara anak-anak dan isteri.

Sementara itu, menurut Ketua Unit Anti Dadah Sempadan AADK Bukit Kayu Hitam, Megat Rodzep Megat Teh, bekas tentera dan anak saudaranya itu ditahan anggotanya ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai urusan di tempat kerja lamanya.

Ketika soal siasat, mereka mengaku mengambil dadah sehari sebelum itu sebelum didapati ujian saringan awal terhadap mereka positif dadah dan ditahan untuk diambil keterangan.

Mereka antara individu yang ditahan dalam operasi yang diadakan sejak Selasa lalu dalam Operasi Cegah Sempadan Siri 4/2017 di kompleks terbabit.

Jumlah yang ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi selama dua hari itu adalah seramai 247 orang namun daripada jumlah itu 45 orang dikesan positif dadah termasuk seorang wanita yang berusia sekitar 19 hingga 45 tahun.

Daripada jumlah itu, kebanyakan yang ditahan dikesan mengambil dadah jenis ekstasi iaitu pil goyang dan pil kuda untuk tujuan berhibur selain morfin.