Sebuah pesawat Malaysia Airlines MH360 yang hendak berlepas ke Beijing terpaksa patah balik ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) selepas berlegar di ruang udara Selat Melaka.

Menerusi paparan di laman web flightradar24.com, pesawat jenis Airbus A330-323 itu mula berpatah balik pada sekitar jam 6.21 petang Sabtu.

Semakan pada flightradar24.com turut menunjukkan pesawat berkenaan berlepas pada jam 6.06 petang dan berlegar lebih kurang dua jam di ruang udara tersebut.

Pesawat itu berlegar lebih kurang dua jam di ruang udara Selat Melaka. - flightradar

Memetik laporan Harian Metro pula, pesawat itu yang melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur 6 petang Sabtu sepatutnya tiba di Beijing pada jam 12.20 tengah malam.

Bagaimanapun, laporan itu memaklumkan bahawa pihak Malaysia Airlines Berhad (MAB) ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan namun tidak dapat memastikan punca ia patah balik ke KLIA.

Kenyataan itu menambah, penerbangan turut dijadual semula dan berlepas pada jam 12.30 tengah malam ini dan tiba di Beijing pada 6.30 pagi Ahad.