Polis mendapati penganjur Perhimpunan Bantah GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) di ibu negara petang tadi telah melakukan beberapa perlanggaran undang-undang.

Justeru pihak polis akan mengambil tindakan terhadap peserta yang didapati melanggar peraturan dan undang-undang sepanjang berlangsungnya perhimpunan itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa berkata pihaknya telah mendokumentasikan perhimpunan menerusi rakaman gambar serta video.

Bantah GST
Beberapa peserta 'Perhimpunan Bantah GST' mengambil peluang berkelakuan melampau dengan menendang dan merosakkan pembahagi jalan di sekitar ibu kota, hari ini. - Foto Bernama

"Kesalahan-kesalahan tersebut telah didokumentasikan melalui rakaman dan video oleh anggota dan pegawai polis terlibat dalam Op Aman 5/2015 Perhimpunan #Kita Lawan/GST dan siasatan serta tindakan wajar akan diambil terhadap pelaku jenayah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tajuddin dalam kenyataan media itu juga memberitahu antara kesalahan termasuk membawa kanak-kanak, membakar mercun dan melakukan vandalisme terhadap harta awam di sekitar Masjid Negara.

Batal GST
Petugas media mengambil risiko demi merakamkan aksi menarik peserta yang membakar suar ketika menyertai 'Perhimpunan Bantah GST' - Foto Bernama

Dalam satu insiden pihak polis juga mendapati sebutir bom asap telah digunakan semasa perhimpunan berkenaan.

Selain itu perhimpunan membantah GST itu sepatutnya diadakan di Padang Merbok tetapi tidak dipedulikan oleh pihak penganjur.

Siasatan lanjut akan dibuat pihak polis mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 Akta 736 dan Seksyen 141 Kanun Keseksaan kerana mengadakan perhimpunan haram.

Pada Jumaat, lebih 10 ribu peserta menyertai Perhimpunan Bantah GST di hadapan bangunan KLCC anjuran kumpulan NGO Jawatankuasa Mei 1.

Perhimpunan itu bermula di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur termasuk Pasar Seni, Masjid Jamek, Pusat Membeli Belah Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Negara sekitar jam 2.30 petang sebelum perarakan ke KLCC.