Tutup

Peserta KMM keracunan makanan: Pembekal makanan akan beri kerjasama penuh

Peserta KMM keracunan makanan: Pembekal makanan akan beri kerjasama penuh
DapurPu3 bersedia untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian berkenaan sekiranya siasatan mendapati insiden keracunan itu berpunca daripada mereka.
KUALA LUMPUR: Pembekal makanan, DapurPu3 (Dapur Puteri) yang membekalkan sarapan pagi kepada peserta yang menghadiri Kongres Maruah Melayu (KMM) di Stadium Malawati, semalam memohon maaf atas insiden keracunan makanan yang dihadapi peserta kongres itu.

Permohonan maaf itu turut dizahirkan kepada pihak penganjur kongres berkenaan iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) atas apa yang berlaku.
"Kami dengan rendah hati merakamkan perasaan dukacita yang amat sangat terhadap insiden keracunan makanan yang telah berlaku.

"Pihak kami telah dan akan terus memberi bekerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian itu," kata DapurPu3 dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, DapurPu3 bersedia untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian berkenaan sekiranya siasatan mendapati insiden keracunan itu berpunca daripada mereka, jelas kenyataan itu.

Semalam, seramai 197 peserta kongres itu disahkan mengalami keracunan makanan dan telah menerima rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesihatan Daerah Petaling

Dalam kejadian kira-kira 11.15 pagi, Jabatan Kesihatan Selangor menerima laporan keracunan makanan melibatkan pelajar universiti yang hadir ke kongres di Stadium Malawati di sini selepas menikmati nasi lemak yang disediakan penganjur.

-- BERNAMA


Tag: keracunan makanan, kongres maruah melayu, peserta program, pembekal makanan, nasi lemak, dapurpu3



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.