Baki seramai 866 peserta ijtimak Masjid Sri Petaling hujung bulan Feb lepas dari negeri ini yang masih enggan melakukan saringan kesihatan, bakal berdepan tindakan tegas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata seramai 2,086 orang peserta dari negeri ini dikenal pasti menghadiri perhimpunan berkenaan dan daripada jumlah itu, 1,220 orang berjaya dikesan dan telah membuat saringan di hospital.

"Kita sudah kesan (bakinya seramai 866 peserta) dan kenal pasti (identiti mereka). Kita akan panggil mereka. Kalau mereka masih tidak mahu tampil buat saringan, kita akan ambil tindakan tegas kerana kita sudah bagi banyak amaran.

"Tiada tempoh untuk mereka. Kita akan berhubung dengan mereka, pujuk mereka untuk hadir (buat saringan)," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata 73 peserta tabligh Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi, Indonesia, baru-baru ini sudahpun memasuki Johor sejak 23 Mac lepas menerusi laluan laut dengan menggunakan pintu masuk di Stulang Laut dan Puteri Harbour.

Menurut Ayob Khan kesemua mereka kini menjalani proses kuarantin selama 14 hari di rumah masing-masing.

Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan dua kawasan di Simpang Renggam, Ayob berkata terdapat kes pertama ingkar arahan PKPD semalam.

Katanya kes berkenaan membabitkan dua lelaki berusia 20-an yang ditahan kerana cuba melepasi sekatan jalan di kawasan Parit Linau, Simpang Renggam dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya bukan sahaja ingkar PKPD malah menemukan 0.6 gram heroin di dalam beg salah seorang daripada mereka. Kedua-duanya, kini ditahan untuk siasatan lanjut kerana mengingkari PKPD selain memiliki dadah, " katanya.

-- BERNAMA