Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli yang rebah ketika sedang berucap pada satu majlis di Kangar Ahad lepas, masih kritikal dan berada di bawah pengawasan Unit Penjagaan Jantung (CCU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Ketua Penerangan PAS Perlis Dr Saifizi Saidon berkata sehingga lewat petang ini, masih belum ada sebarang perkembangan positif pada tahap kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu.

"Beliau masih diletakkan di bawah pengawasan rapi pihak HSB dan hanya keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan melawatnya. PAS Perlis menyeru agar semua pihak dapat terus mengadakan solat hajat serta mendoakan kesihatan beliau," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BACA: ADUN Sanglang dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam Ahad lepas, Mohd Shukri rebah dipercayai akibat serangan jantung ketika berucap pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional peringkat Perlis di Dewan 2020 di Kangar, Perlis.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah; Ketua Pemuda UMNO Perlis, Harmizan Hassan dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perlis, Mohd Ridzuan Hashim, dilihat cuba membantu beliau dengan memberikan pertolongan awal ketika kejadian.

Beliau kemudiannya dimasukkan ke CCU Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di Kangar sebelum dipindahkan ke HSB di Alor Setar, semalam.

-- BERNAMA