Pesuruhjaya Pas Perlis Mohd Shukri Ramli dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selepas terjatuh dan tidak sedarkan diri ketika berucap pada satu ceramah sebentar tadi, sekitar 10.10 malam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang mahu memulakan ceramah pada Majlis Ceramah Perdana Muafakat Nasional Peringkat Negeri Perlis di Dewan 2020, Ahad malam.

Mohd Shukri sebagai penceramah pertama yang baru saja sedang memperkenalkan nama-nama penceramah lain, tiba-tiba saja kelihatan seperti kurang bermaya dan gagal berdiri dengan stabil lalu rebah ke belakang rostrum.

Ketika itu, beberapa panel dan juga penonton meluru ke arahnya untuk memberikan bantuan.

Berikutan itu, Mohd Shukri diberikan bantuan pernafasan oleh Unit Medik Jabatan Amal Malaysia sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Insiden itu dapat disaksikan secara langsung kerana acara tersebut turut disiarkan menerusi laman Facebook UMNO Online.

Ceramah tersebut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan lebih 2,000 penyokong dari kedua-dua parti itu.

Astro AWANI pada jam 11.30 malam mendapat maklumat daripada Unit Media Pas, bahawa Mohd Shukri kini sedang menerima rawatan selepas pemeriksaan pengimbasan tomografi berkomputer atau CT scan dan dalam keadaan stabil.