Ulat ratus atau fall armyworm yang dikatakan berasal dari Amerika Selatan dikesan menyerang tanaman jagung di empat buah negeri sejak awal tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan, memaklumkan serangan ulat yang berbahaya dan merosakkan tanaman itu dikesan di Perlis, Kedah, Perak dan Johor.

Bagaimanapun, setakat ini keadaan masih terkawal dan tidak merebak, memandangkan serangan itu dapat dikesan lebih awal oleh Jabatan Pertanian.

Ulat berkenaan juga dikatakan kalis racun bahkan jika serangan berlaku ke atas tanaman, petani biasanya bertindak membakar keseluruhan ladang bagi mengelakkan ia merebak.

“Ulat ini menjadi masalah antarabangsa, bukan hanya Malaysia. Kita dah berbincang antara jabatan pertanian ASEAN sampai ke China untuk dapatkan bantuan.

“(Bantuan) dari China belum sampai lagi... mungkin boleh jadi masalah besar. Buat masa ini padi selamat sebab ada tanaman jagung.

“Kita bimbang jika ia serang tanaman lain termasuk padi, (namun) kita sedang teliti dan sediakan laporan,” katanya.

"Ulat ini atau nama saintifiknya Spodoptera frugiperda, bukan sahaja menyerang tanaman di Malaysia, sebaliknya ia turut menyerang negara lain.

“Isu ini juga sudah dibincangkan di peringkat ASEAN dan pihak kementerian sedang meneliti bagi mengambil langkah terbaik untuk mengelak serangan ulat berkenaan,” tambahnya.

Katanya, setakat ini ulat berkenaan hanya menyerang tanaman jagung, namun pihaknya melahirkan kebimbangan jika ulat berkenaan menyerang tanaman lain terutama padi.

Mohd Sallehuddin berkata, ulat berkenaan menyerang tanaman dengan memakan jagung sebelum bertelur di tanaman berkenaan.

Justeru pihaknya menasihatkan petani supaya memantau tanaman masing-masing dan sekiranya terdapat serangan ulat berkenaan, agar terus memaklumkan kepada Jabatan Pertanian.

Ulat berkenaan yang akan bertukar menjadi kupu-kupu, dikatakan mampu terbang sejauh 100 kilometer, dan melepasi sempadan negara lain.