Seorang petani terkejut apabila menjumpai seorang bayi perempuan masih hidup dipercayai baru dilahirkan dibuang di celah pokok pisang di luar rumahnya di kawasan perumahan Sibu Jaya di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, lelaki berusia 45 tahun itu mahu membuang sampah di luar rumahnya apabila terdengar tangisan bayi malang berkenaan.

Beliau berkata, dia kemudian mencari arah suara tangisan tersebut dan terkejut menemui seorang bayi perempuan di celah rimbunan pokok pisang berhampiran rumahnya.

“Bayi perempuan itu didapati cukup sifat tetapi tidak berpakaian dan masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan.

“Bayi itu kemudian dibawanya pulang ke rumah untuk dimandikan sebelum dibawa ke Balai Polis Sibu Jaya bagi diserahkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi di sini.

Foto Astro AWANI

Beliau berkata, polis yang menerima bayi dan laporan tentang kes tersebut daripada petani berkenaan segera menjalankan siasatan.

Katanya, ambulans Hospital Sibu telah datang ke balai untuk membuat pemeriksaan sebelum membawa bayi itu ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Tambahnya, polis kini sedang mengesan pihak bertanggungjawab membuang bayi tersebut dan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.