Bekas Ahli Majlis Petaling Jaya, Peter Chong, yang dilaporkan hilang seminggu lepas, telah selamat kembali ke tanah air dari Pattaya.

Hal itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, melalui satu kemas kini status di akaun Twitternya.

Turut dimuat naik bersama status itu ialah gambar Chong yang berbaju biru dan berseluar pendek, dipercayai dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Portal Star Online melaporkan, Chong, yang merupakan bekas pembantu Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa, akan disoal siasat mengenai kehilangannya itu.

Sebelum ini, Khalid memaklumkan polis mendapat maklumat Chong telah menyeberangi pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam untuk memasuki Thailand, kira-kira jam 6.30 pagi pada 7 April lalu.

Chong dilaporkan hilang selepas memuat naik satu status berkenaan pertemuannya dengan seorang lelaki.

Lelaki itu dikatakan memberi amaran kepada Chong berhubung kehilangan beberapa orang individu secara misteri sejak kebelakangan ini.