Nasib separuh daripada 116 kakitangan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) masih belum dapat dipastikan, adakah masih mempunyai pekerjaan atau hilang punca pendapatan selepas ini.

Berita tentang ITBM bakal mengecilkan operasi dan kembali kepada fungsi asalnya sebagai badan terjemahan sudah mula tersebar lebih kurang dua minggu yang lepas.

Menyedari betapa ITBM perlu terus meneruskan operasi menerbitkan buku dan memartabatkan karya asli penulis tempatan seperti mana yang telah dilakukan sejak 2011, satu kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai warga prihatin membuat petsiyen mendesak campurtangan pihak berwajib untuk masa depan ITBM.

Petisyen itu mula dilancarkan sejak Jumaat 22 November lepas dan sehingga Isnin telah mendapat lebih 2,500 tandatangan rakyat Malaysia yang mahu kerajaan menyelamatkan ITBM.

Petisyen oleh warga prihatin yang peka dengan pembangunan perbukuan ini mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan demi untuk menyelamatkan ITBM.

"Kami, Rakyat Malaysia yang prihatin terhadap pembangunan pendidikan dan perbukuan secara keseluruhannya, ingin merayu dan menggesa kepada semua pihak berkepentingan agar menyokong petisyen ini supaya ITBM boleh kembali beroperasi biasa dengan penambahbaikan yang munasabah," kata kumpulan tersebut.

BACA: Tiada cadangan gabung ITBM dan DBP

Antara lima tuntutan yang dikemukakan ialah menyelamatkan ITBM dengan mendesak kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengekalkan fungsi penerbitan buku sastera dan terjemahan sebagai antara teras utama.

Selain itu, mereka juga menolak sebarang usaha mengecilkan organisasi tanpa memberi peluang kepada ITBM menyusun semula operasinya dan memberi peluang kepada ITBM untuk membentang pelan perlaksanaan perniagaannya.