Kementerian Kewangan hari ini menjelaskan bahawa Petron Fuel International Sdn Bhd (Petron) bukanlah pembekal tunggal minyak petrol dan diesel kenderaan kerajaan Persekutuan.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu menegaskan bahawa Petronas dan Shell masih lagi merupakan pembekal minyak petrol dan diesel semenjak 1997 untuk kegunaan kenderaan kerajaan.

"Pelantikan ini dibuat secara pentadbiran kerana ia adalah berkaitan dengan urusan operasi dan tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan," kata kementerian itu.

Kementerian berkata melalui kelulusan tersebut, kerajaan memperolehi lebih banyak pilihan di antara Petronas, Shell dan Petron dan dapat membuka peluang serta persaingan yang sihat di kalangan pembekal minyak petrol dan diesel.

"Kerajaan juga tidak menghadkan jumlah pembekal di mana pembekal lain yang berwibawa dan mempunyai jaringan stesen di seluruh negara boleh memohon," katanya bagi menjawab isu yang tular hari ini berkaitan pelantikan Petron sebagai pembekal minyak petrol dan diesel kepada kerajaan persekutuan.

--BERNAMA