Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Petroliam National Berhad (Petronas) untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Sarawak berhubung hak syarikat minyak negara itu untuk mengawal selia aktiviti huluan minyak dan gas di negeri itu.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop memutuskan relif perisytiharan yang dimohon Petronas tidak termaktub di bawah Perkara 4 (4) dan Perkara 4 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 4(4) menyatakan bahawa prosiding untuk mendapatkan penetapan bahawa sesuatu undang-undang adalah tidak sah atas alasan yang disebut dalam Fasal (3)... tidak boleh dimulakan tanpa kebenaran hakim Mahkamah Persekutuan; dan Persekutuan berhak menjadi satu pihak dalam mana-mana prosiding itu, dan begitulah juga dengan mana-mana Negeri yang akan atau mungkin menjadi satu pihak dalam prosiding yang dibawa bagi maksud yang sama ....

Perkara 4 (3) menyatakan bahawa kesahan mana-mana undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Badan Perundangan mana-mana Negeri tidak boleh dipersoalkan atas alasan bahawa undang-undang itu membuat peruntukan berkenaan dengan apa-apa perkara yang berkenaan dengan Parlimen atau, mengikut mana-mana yang berkenaan, Badan Perundangan Negeri itu tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang, kecuali dalam prosiding untuk mendapatkan suatu penetapan bahawa undang-undang itu adalah tidak sah atas alasan itu atau (a) jika undang-undang itu telah dibuat oleh Parlimen, dalam prosiding antara Persekutuan dengan satu atau beberapa Negeri atau (b) jika undang-undang itu telah dibuat oleh Badan Perundangan sesuatu Negeri, dalam prosiding antara Persekutuan dengan Negeri itu.

Ahmad berkata dengan itu, relif perisytiharan yang dimohon oleh Petronas tidak terletak dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Peersekutuan tetapi terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Beliau menolak permohonan Petronas bagi kebenaran untuk memulakan prosiding terhadap kerajaan Sarawak dan memerintahkan syarikat minyak negara itu membayar RM50,000 sebagai kos kepada kerajaan Sarawak.

Sementara itu, Petronas menarik balik permohonannya bagi perintah penangguhan terhadap langkah kerajaan Sarawak untuk mula mengawal selia aktiviti huluan di negeri itu mengikut Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 (OMO) bermula 1 Julai tahun ini.

Petronas dengan itu dikehendaki mematuhi OMO dan perlu mempunyai lesen atau pajakan seperti disyaratkan menjelang 1 Julai tahun ini dan jika gagal berbuat demikian aktiviti huluan yang dijalankan Petronas akan menjadi tidak sah dan tindakan sesuai akan diambil.

Permohonan penangguhan itu didengar di hadapan panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan iaitu Hakim Ahmad dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed dan Tan Sri Zaharah Ibrahim, selepas Hakim Ahmad menolak permohonan Petronas bagi kebenaran itu.

Panel itu kemudiannya membatalkan permohonan penangguhan itu berikutan penarikan balik permohonan itu.

Syarikat minyak negara itu memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan prosiding itu mengikut Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan pada 6 Jun, memohon perisytiharan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) terpakai bagi mengawal selia aktiviti huluan di Sarawak.

Ia memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang telah dikuatkuasakan oleh Parliamen yang menyatakan bahawa Petronas ialah pihak pengawal selia eksklusif bagi industri huluan di seluruh Malaysia, termasuk di Sarawak.

Syarikat itu turut memohon perisytiharan bahawa Ordinan Perlombongan Minyak Sarawak 1958 (OMO) secara tersiratnya telah dimansuhkan oleh PDA.

Petronas diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala peguam kerajaan negeri Sarawak Datuk Sri J. C. Fong mewakili kerajaan negeri.

-- BERNAMA